Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas lelaki warga asing kerana menyimpan hasil haiwan yang dilindungi.

Hakim Darmafikri Abu Adam memutuskan demikian selepas tertuduh Jesus A Apolinarion, 49, didapati bersalah mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap dan lelaki itu perlu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai jalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki kepala rusa, dua tanduk kijang dan 245 batang bulu landak di rumah pekerja di kawasan Hutan Simpan Ladang Labau di Tongod.

Penemuan anggota haiwan yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 itu hasil pemeriksaan pasukan anggota Operasi Bersepadu Khazanah.

Di bawah enakmen itu, pesalah boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:23 PM