PEGAWAI Jabatan Hidupan Liar Sabah membawa Mohd Haffiz Halan (kanan) dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki haiwan dilindungi. FOTO Khairull Azry Bidin
PEGAWAI Jabatan Hidupan Liar Sabah membawa Mohd Haffiz Halan (kanan) dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki haiwan dilindungi. FOTO Khairull Azry Bidin
Fardy Bungga


TUKANG masak dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah memiliki haiwan dilindungi ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda, Hakim Elsie Primus memerintahkan tertuduh, Mohd Haffiz Halan, 29, supaya menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan.

Tertuduh didakwa memiliki tenggiling spesies Malayan Pangolin (Manis Javanica) yang tersenarai dalam Bahagian 1 Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas, dua tahun lalu.

Hakim kemudiannya mengeluarkan arahan waran tangkap terhadap rakan tertuduh, Mastang A Natsir, 27, yang dipercayai memainkan peranan utama dalam urusniaga membabitkan haiwan dilindungi itu.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Oktober 2017, 1.30 tengah hari, Mohd Haffiz bersama Mastang ditahan di tempat letak kereta Anjung Selera, Tanjung Lipat.

Ketika pemeriksaan dijalankan, pasukan penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah menemui seekor tenggiling hidup di dalam kenderaan mereka dipercayai cuba dijual kepada pembeli di lokasi berkenaan.

Kedua-dua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 berhubung haiwan berkenaan.

Mohd Haffiz yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 dan penjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun.

Pegawai Pendakwa kes, Abdul Karim Dakog dalam sesi pendakwaannya berkata, tenggiling tersenarai sebagai haiwan hampir pupus yang dilindungi.

Katanya, kes berkenaan membabitkan kepentingan awam dan ia adalah kesalahan serius serta mendapat perhatian pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

“Kes ini harus dijadikan sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:36 PM