Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 ke atas seorang lelaki warga asing atas kesalahan memiliki 12 keping Plastron, 39 sisik marginal dan 4.8 kilogram lemak penyu spesis Green Turtle (Chelonia mydas) Penyu Hijau di kawasan perairan Pulau Omadal, Semporna, awal bulan ini.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Nasdi Bilnati, 18, yang mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun lagi, jika gagal membayar denda. Tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pemuda warga Filipina yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu, didapati memiliki 12 keping Plastron, 39 sisik marginal dan 4.8 kilogram lemak penyu hijau iaitu hasil haiwan daripada spesies haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum Seksyen 41 (4) Enakmen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minima RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua lagi individu yang masih bebas di kawasan perairan laut Pulau Omadal, Semporna, jam 12.30 tengah hari, 6 Julai lalu.

Nasdi dijatuhi hukuman 4 tahun penjara dan denda RM150,000.00 atas kesalahan memiliki hasil haiwan daripada spesis dilindungi (Penyu Hijau). FOTO Abdul Rahemang Taiming
Nasdi dijatuhi hukuman 4 tahun penjara dan denda RM150,000.00 atas kesalahan memiliki hasil haiwan daripada spesis dilindungi (Penyu Hijau). FOTO Abdul Rahemang Taiming

Terdahulu, prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Silvester @ Sylvester Saimin dalam hujahannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira jumlah penyu yang dibunuh terlalu banyak.

"Walaupun tertuduh membuat pengakuan bersalah, pihak pendakwaan berharap hukuman berat dan setimpal memandangkan kesalahan besar yang dilakukan iaitu dengan membunuh begitu banyak penyu, suatu spesis yang sangat terancam dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang di Sabah.

"Sejak beberapa tahun lalu, aktiviti pemburuan penyu khususnya di perairan Semporna masih berlaku walaupun tindakan penguatkuasaan diambil termasuk dihadapkan ke mahkamah dan telah disabitkan kesalahan namun pemburuan terhadap penyu terus berlaku," katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman di Penjara Sandakan berkuat kuasa daripada tarikh sabitan hari ini.

Caption :

TAWAU 22 JULAI 2021. Tertuduh, Nasdi Bilnati, 18, dijatuhi hukuman 5 tahun penjara dan denda RM150,000.00 atas kesalahan memiliki hasil haiwan daripada spesis dilindungi (Penyu Hijau). Nstp / Abdul Rahemang Taiming.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:53 PM