Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Norasikin Daineh dan Nasrawati Syarifuddin


MAHKAMAH Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM100,000 terhadap empat lelaki warga asing yang mengaku bersalah memiliki 'plastron' (kulit bahagian dada), isi dan cengkerang penyu agar di perairan Pulau Bohey Dulang, Semporna, pada April lalu.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu terhadap Reysal Brunu, 44, Bartasan Gelah, 25, Masikal Jahan, 24, dan Kindat Magane, 50, serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Beliau turut memerintahkan tertuduh masing-masing dipenjara sembilan bulan lagi, jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 18 keping plastron, tiga guni isi dan kulit serta satu guni cengkerang penyu spesies penyu agar (Chelonia mydas) di perairan Pulau Bohey Dulang, Semporna, pada 12.10 tengah hari, 30 April lalu.

Ia adalah haiwan yang dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan

Mereka dihukum mengikut Seksyen 41(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 3:47 PM