Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sejak kejadian ketukan pintu dan dentuman misteri mengganggu lebih 50 rumah di lima kampung di Mukim Pendek seminggu lalu, penduduk hidup dalam keadaan ketakutan dan berjaga-jaga.

Masing-masing berwaspada setiap kali menjelang awal pagi kerana bimbang gangguan sama berlaku.

Bagi penduduk Kampung Likong, Limbat, Tuan Mohamad Danish Tuan Mohd Zakaria, 24, kawalan hanya dibuat di rumah masing-masing kerana penduduk menyifatkan gangguan itu lebih kepada perkara mistik dan bukannya angkara manusia.

"Setakat ini tiada berlaku kehilangan harta benda atau kejadian pecah masuk rumah menyebabkan kami hanya menjalankan langkah berhati-hati di rumah masing-masing sahaja.

"Memandangkan kawasan ini adalah kampung maka tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang. Kami merasakan tiada keperluan pemasangannya dibuat kerana gangguan ini mungkin bersifat sementara," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tuan Mohamad Danish berkata, dia turut menerima gangguan sama pada awal pagi Rabu lalu apabila kedengaran ketukan kuat di pintu utama sebelum bunyi yang sama didengari menerusi tingkap bilik tidurnya.

Gangguan turut didengari di rumah datuknya bersebelahan apabila terdengar bunyi seakan dinding rumah dicakar menyebabkan sehingga kini mereka masih ketakutan dan tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku.

TUAN Mohamad Danish menunjukkan kawasan kejadian ketukan pintu dan dentuman misteri  menyifatkan gangguan itu lebih kepada perkara mistik dan bukannya angkara manusia ketika ditemui di Kampung Likong Limbat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Mohamad Danish menunjukkan kawasan kejadian ketukan pintu dan dentuman misteri menyifatkan gangguan itu lebih kepada perkara mistik dan bukannya angkara manusia ketika ditemui di Kampung Likong Limbat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Akhbar terdahulu melaporkan lebih 50 rumah di lima kampung di Mukim Pendek di sini, diganggu ketukan pintu dan dentuman kuat di rumah masing-masing sejak seminggu lalu.

Bunyi itu berlaku awal pagi iaitu sekitar jam 1.30 pagi dan kedengaran hampir serentak menyebabkan penduduk Kampung Belimbing, Tunjong, Pulau Gajah, Keling dan Lating bingung memikirkan sama ada pelakunya adalah manusia atau berkait dengan perkara mistik.

Seorang penduduk, Shazwani Shakeri, 37, berkata, kejadian yang sama menimpanya pada awal pagi Selasa lalu apabila diganggu ketukan pintu yang sangat kuat sebanyak dua kali.

Dia yang menetap di Kampung Pauh Butut, tidak jauh dari lima kampung yang terbabit berkata, kejadian itu berlaku pada 1.30 pagi dan menyangkakan ketukan itu dilakukan penghantar makanan.

"Saya sering membuat pesanan makanan pada waktu malam dan menyangkakan ketukan itu daripada penghantar makanan namun apabila menjenguk ke luar, tiada kelibat sesiapa dan sebaik menyemak telefon bimbit, tiada sebarang pesanan dibuat.

"Dari segi logik, ia tidak mungkin dilakukan oleh penghantar makanan kerana bunyi ketukan sangat kuat dan ia seakan diketuk di pintu berstruktur kayu sedangkan ia kedengaran di tingkap kaca tidak jauh dari saya yang ketika itu sedang berada," katanya.

Shazwani berkata, kumpulan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga kerap menjalankan rondaan sejak sekian lama namun tidak menemui sebarang kelibat manusia yang melakukan onar untuk dikaitkan dengan kejadian yang berlaku seminggu lalu.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 5:29 PM