LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Polis telah memanggil beberapa penduduk yang mengalami gangguan bunyi ketukan pintu bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, selain penduduk, ahli paranormal yang membuat rakaman 'live' juga dipanggil untuk memberi keterangan.

"Untuk makluman, tidak semua mangsa dapat hadir ke balai polis untuk memberi keterangan.

"Kita pergi ke rumah mereka (mangsa) untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian (gangguan ketukan pintu)," katanya, hari ini.

Agus Salim berkata, sehingga kini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada seorang pemimpin peringkat kampung mengenai gangguan itu.

"Kita terima satu aduan pada 22 November lalu mengenai rumah beliau (pemimpin peringkat kampung) yang didakwa diganggu bersama 24 lagi buah rumah di kampung berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya meningkatkan kawalan rondaan di beberapa kampung dan taman perumahan susulan gangguan itu.

"Kita minta kerjasama penduduk supaya membuat rondaan di kawasan masing-masing bagi mengatasi isu ini," katanya.

"Orang ramai juga diminta tidak menokok tambah perkara sedia ada selain menyebarkan maklumat tidak sahih hingga menimbulkan tanda-tanya dan ketakutan kepada penduduk.

"Sekiranya perkara ini berterusan, kita bimbang ada pihak yang akan mengambil kesempatan (susulan gangguan ketukan pintu). Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat, salurkan segera kepada pihak polis," katanya.

Harian Metro melaporkan penduduk daerah Sabak Bernam dilanda tanda-tanya dan ketakutan susulan gangguan ketukan pintu misteri yang berlaku sejak 18 November lalu.

Berita berkaitan

Siapa ketuk pintu?

PKetukan pintu misteri ...angkara hantu atau manusia?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 1:09 PM