AZIZ menunjukkan rumah penduduk yang diganggu dengan ketukan mitseri. Meor Riduwan Meor Ahmad
AZIZ menunjukkan rumah penduduk yang diganggu dengan ketukan mitseri. Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Tanjung Kling: Susulan misteri ketukan menghantui penduduk di beberapa kampung di kawasan ini sejak minggu lalu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kini melakukan rondaan malam setiap hari.

Sidang Kampung Tanjung Kling Aziz Japar berkata, rondaan dilakukan bertujuan menjaga keselamatan dan keharmonian penduduk.

"Kumpulan rondaan ini membabitkan 20 hingga 30 individu termasuk golongan pemuda yang segera memeriksa ke rumah penduduk sebaik menerima aduan.

"Kumpulan ini mampu sampai dalam beberapa minit saja ke rumah penduduk yang mengalami gangguan dan kami berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp," katanya ditemui di Kampung Kelongkong, dekat sini.

AZIZ ketika ditemui di rumahnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AZIZ ketika ditemui di rumahnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Mengulas lanjut, Aziz berkata, beliau berpendapat kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

Katanya, setakat semalam sebanyak 20 kediaman penduduk termasuk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Lereh dan Simpang Tanjung diganggu ketukan misteri itu.

"Selain mengadakan rondaan saya juga ada membuat aduan di Balai Polis Tanjung Kling berhubung kejadian dan pihak polis turut menghantar unit peronda melakukan pemantauan.

"Nasihat saya kepada penduduk agar berhati-hati dan mengadakan bacaan ayat suci al-Quran di kediaman masing-masing sebagai satu usaha memohon perlindungan Allah daripada gangguan mistik," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan penduduk tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa jika berjaya menangkap individu bertanggungjawab melakukan gangguan ketukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 10:47 PM