Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Polis Johor menubuhkan pasukan khas bagi membanteras penyelewengan diesel dan minyak masak bersubsidi, bagi memastikan negeri ini bebas aktiviti haram itu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan khas terbabit turut akan dianggotai pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah, Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, pasukan khas itu juga akan dipantau bagi mengelakkan penyelewengan antara penguatkuasa berlaku selain akan menjalankan tanggungjawab secara bersepadu.

"Polis Johor menyahut saranan kerajaan supaya setiap negeri membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam isu penyelewengan minyak masak bersubsidi dan diesel.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat treller yang membawa muatan minyak diesel bersubsidi oleh sindiket penyeludupan di Jeti Sungai Tiram. FOTO OMAR AHMAD
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat treller yang membawa muatan minyak diesel bersubsidi oleh sindiket penyeludupan di Jeti Sungai Tiram. FOTO OMAR AHMAD

"Oleh itu, Polis Johor menubuhkan satu pasukan khas yang baharu diwujudkan semalam dan sudah pun bermesyuarat semalam. Pembabitan pegawai dari LHDN dan SPRM ini cukup penting kerana tindakan dapat dilakukan secara bersepadu dan memastikan tiada unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di premis penyeludupan sindiket berkenaan di sebuah jeti berhampiran Sungai Tiram, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora.

Pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan memaklumkan PDRM sedia bekerjasama dengan KPDNHEP melalui Op Bersepadu bagi membendung ketirisan minyak masak bersubsidi.

Ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta pihak penguat kuasa KPDNHEP, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'menggempur' dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara untuk memastikan tiada penyelewengan berlaku.

Langkah itu dibuat bagi memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion yang disalurkan pada tahun ini bagi mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

Menjelaskan lanjut, Kamarul Zaman, berkata pasukan khas yang ditubuhkan itu akan dipantau rapi pihaknya bagi memastikan tujuan penubuhannya dapat dicapai.

"Pasukan khas ini akan melaksanakan mesyuarat seminggu sekali dan saya sendiri akan memantau perjalanan termasuk operasi dan siasatan yang dilakukan.

"Polis Johor memandang serius penyelewengan diesel dan minyak masak bersubsidi kerana membabitkan kerugian cukup besar kepada negara selain membebankan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:06 PM