Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat proses pemindahan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan sindiket penyeludupan sebelum dipindahkan ke dalam kapal vessel. FOTO OMAR AHMAD
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (kanan) melihat proses pemindahan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan sindiket penyeludupan sebelum dipindahkan ke dalam kapal vessel. FOTO OMAR AHMAD
Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Polis Johor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar di negeri ini, susulan rampasan sebuah kapal tangki serta 122,000 liter diesel bernilai RM10.7 juta di sebuah jeti di Sungai Tiram, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kejayaan itu hasil risikan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sebelum serbuan dilakukan kira-kira jam 1 pagi, Ahad lalu.

Katanya, seramai 19 suspek membabitkan 11 lelaki tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 58 tahun berjaya ditahan di premis yang dijadikan tempat transit penyeludupan diesel bersubsidi berhampiran jeti itu.

"Menerusi siasatan, sindiket penyeludupan diesel bersubsidi ini dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan lokasi sunyi dan jauh di pedalaman serta sukar dimasuki dengan dalam kes ini berhampiran sebuah jeti di Sungai Tiram. Ia dijadikan sebagai tempat transit penyeludupan minyak dari treler minyak ke kapal tangki sebelum dibawa ke perairan antarabangsa.

"Minyak diesel berkenaan dibeli pada harga subsidi RM2.15 seliter sebelum ia dijual pada harga RM3.50 di pasaran gelap antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di premis penyeludupan sindiket berkenaan di sebuah jeti berhampiran Sungai Tiram, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora.

Kamarul Zaman berkata, polis kini sedang menyiasat sumber diesel yang cuba diseludup berkenaan dan rangkaian pemasarannya di pasaran gelap.

"Namun kita percaya ia bukan untuk pasaran tempatan kerana ia dibawa ke perairan antarabangsa sebelum dijual.

"Kita berharap supaya pengusaha stesen minyak tampil bekerjasama membantu siasatan bagi memastikan kegiatan penyeludupan diesel dapat dihapuskan," katanya.

Selain kapal tangki dan 122,000 liter diesel yang berada di dalam tiga treler yang tidak sempat dipindahkan, Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas, sebuah sistem GPS kapal selain tujuh hos berserta peralatan enjin pendingin.

"Semakan rekod ke atas semua suspek mendapati enam daripada suspek tempatan mempunyai rekod lampau kesalahan dadah manakala lapan suspek warga asing tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1,00,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 3:59 PM