GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Polis menahan sembilan lelaki termasuk seorang warga asing selepas disyaki terbabit dalam aktiviti menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam tiga serbuan berasingan, sejak semalam hingga awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam tiga serbuan itu, pihaknya turut merampas hampir 18,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM48,494.

"Bertindak atas maklumat, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Hang Jebat, Skudai di sini, kira-kira jam 5 petang semalam.

"Susulan penahanan itu, kira-kira jam 11 malam, kita menyerbu sebuah stor di Jalan Ban Foo, Ulu Tiram di sini, dan menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 20 hingga 41 tahun," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan diteruskan susulan kes itu sebelum menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi di Jalan Nikel 3, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, jam 2.15 pagi tadi.

Katanya, polis berjaya merampas 17,444 liter minyak diesel bersubsidi dalam simpanan kumpulan itu dan turut menyita empat lori, sebuah van dan sembilan tangki minyak.

"Jumlah rampasan keseluruhan diesel, barangan dan kenderaan dianggar mencecah RM281,494," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, hasil semakan, tangkapan pertama mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya, semua suspek itu kini diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada masa sama, beliau menegaskan Polis Johor akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang menyebabkan kerugian kepada hasil dalam negara.

"Kita juga ingin memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit dalam pelanggaran undang-undang ini supaya menghentikan kegiatan atau diambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 1:19 PM