Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Seramai 25 lelaki termasuk enam warga asing dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan diesel, minyak masak bersubsidi, arak dan rokok ditahan menerusi 14 serbuan Op Kontraban, di seluruh negeri, sejak Rabu lalu.

Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan pasukan khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil operasi pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM2 juta.

"Sejak Rabu lalu hingga 2 pagi tadi, pasukan khas kontraban melakukan 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 4,012 paket minyak masak; 158,380 liter diesel; 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, serta 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

KENDERAAN yang dirampas dalam OP Kontraban Kontinjen Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KENDERAAN yang dirampas dalam OP Kontraban Kontinjen Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta peralatan penyeludupan lain.

Katanya, semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah.

"Pemeriksaan ke atas suspek warga asing pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

"Suspek warga asing sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63," katanya.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Polis akan terus memastikan kegiatan penyeludupan minyak diesel dan petrol, minyak masak bersubsidi, rokok dan arak terus dibanteras.

"Polis juga memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit supaya menghentikan perbuatan itu, kerana kita tak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 3:14 PM