FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Kejayaan besar dicapai apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai lebih RM16.2 juta.

Rampasan minyak masak yang juga barang kawalan bersubsidi itu dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bermula 2017 hingga Ogos lalu.

Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya berkata, jumlah rampasan itu membabitkan 408 kes minyak masak bersubsidi dikendalikan KPDNHEP di seluruh negara.

Menurutnya, tindakan rampasan turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan 16 rampasan, Pasukan Gerakan Am (PGA) (197 kes), Polis Diraja Malaysia (155 kes), Kastam Diraja Malaysia (6 kes), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) (52 kes), Pasukan Polis Marin (PPM) (277 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (42 kes).

"Kegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran masih berlaku berikutan harga runcit pengguna untuk minyak masak jenis peket satu kilogram (kg) lebih rendah di Malaysia berbanding di pasaran negara jiran.

"Oleh itu, KPDNHEP amat memandang serius ketirisan yang berlaku di sempadan negara dan sedang menetapkan beberapa tindakan baharu," katanya.

Beliau berkata, antara tindakan bakal diambil adalah merangka satu arahan berhubung larangan ke atas mana-mana syarikat pemborong dan pembungkus menyalurkan minyak masak dari negeri lain ke negeri bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

"Selain itu KPDNHEP akan membuat penilaian dan penyelarasan semula ke atas jumlah kuota minyak masak oleh syarikat pembungkus yang beroperasi di negeri bersempadan negara supaya diselaraskan dengan nisbah keperluan penggunaan isi rumah dan keluasan kawasan.

"KPDNHEP turut akan mengkaji langkah mengeluarkan satu lesen kepada satu syarikat iaitu sama ada lesen borong atau lesen runcit untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan," katanya.

Menurutnya, tindakan menggantung dan menarik balik kuota dan lesen minyak masak ke atas syarikat akan dilakukan jika didapati melakukan penyelewengan dan penyeludupan.

"KPDNHEP amat memandang serius syarikat yang didapati terbabit dalam aktiviti penyelewengan, terutamanya syarikat yang diberi lesen dan kuota untuk pembungkusan dan pembotolan barang kawalan dan subsidi.

"Tindakan ini perlu sebagai langkah pencegahan serta peringatan kepada syarikat pembungkus dan pemborong supaya tidak terbabit dalam kes seumpama itu. Sehingga kini sebanyak 25 syarikat digantung atau ditarik balik kuota membabitkan barang kawalan minyak masak," katanya.

Terbaharu, katanya, KPDNHEP Johor dan Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya membuat serbuan terhadap sebuah premis di kawasan Perindustrian Tanjung Pelepas Gelang Patah, Johor Bahru pada Ahad lalu.

Bangunan itu dijadikan tempat pengumpulan dan transit minyak masak sebelum minyak masak itu dihantar ke satu lokasi berasingan untuk digunting dan dipindahkan ke dalam tong industri.

"Dua lelaki ditahan dan pelbagai jenama minyak masak seberat 15,432 kilogram dirampas. Tindakan sama turut dilakukan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Pekan Nenas Pontian, Johor sebelum KPDNHEP menemui minyak masak dan peralatan seperti mesin pemotong plastik, mesin pengepam dan water hose jenis getah yang dipercayai digunakan untuk tujuan memindahkan bekalan minyak masak bersubsidi ke dalam tong kosong bagi tujuan dijual semula di pasaran industri.

"Hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak 1 kg bersubsidi daripada syarikat pembekal di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain berdasarkan beberapa jenama minyak masak dijumpai.

"Minyak masak bersubsidi ini akan dikumpul, dipotong dan dipindahkan ke tong industri dan disyaki dijual semula oleh pihak sindiket di pasaran industri dengan harga yang lebih mahal demi mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi.

"Jumlah keseluruhan minyak masak yang disita adalah sebanyak 36,495 kilogram dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM 115 397.50," katanya.

Tambahnya, KPDNHEP turut berjaya membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan dan subsidi meliputi minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) baru-baru ini.

Menurutnya, jenayah sebegini memberi impak yang besar kepada bekalan barangan itu di pasaran untuk kegunaan rakyat Malaysia dan di masa yang sama menyebabkan Kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:45 AM