Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Syarikat konsesi baharu dilantik bagi menguruskan kawasan pelancongan Tasik Cermin di Simpang Pulai di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menjelaskan bahawa pelantikan syarikat baharu dibuat berikutan syarikat konsesi sebelum ini gulung tikar.

"Kita bukan tersilap mengambil konsesi tetapi kita mendapat maklumat latar belakang konsesi berkenaan sudah digulungkan.

"Berdasarkan 'ranking' dalam jawatankuasa tender yang sebelum itu, maka Maju Perak yang ambil," katanya selepas menyempurnakan pelepasan Kayuhan Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar dan pelepasan Kayuhan Santai Kanak-Kanak Sambutan Hari Kanak-Kanak pada Program Hari Tanpa Kereta Ipoh di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, lantikan baru dibuat bulan lalu dan cuma belum mendapat surat setuju terima daripada Maju Perak.

Ditanya pemberita kemungkinan kerjasama syarikat konsesi baharu dengan konsesi yang sudah melabur banyak sebelum ini, Rumaizi berkata, perkara itu di bawah keputusan Maju Perak nanti.

"Kita akan lantik Maju Perak, jadi Maju Perak sendiri akan membuat keputusan bagaimana kerjasama dengan pengurusan sedia ada.

"Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menjadi penyelaras antara Maju Perak dan semua pihak berkaitan," katanya.

Operasi Tasik Cermin berjalan macam biasa, namun MBI menguruskan buat sementara waktu sehingga mendapat surat setuju terima daripada Maju Perak, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja pemasangan bumbung bazar Gerbang Malam dijangka selesai sekitar Ogos ini.

Rumaizi selepas menyempurnakan pelepasan Kayuhan Alam Sekitar. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Rumaizi selepas menyempurnakan pelepasan Kayuhan Alam Sekitar. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:07 PM