Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kehidupan miskin dilalui ibu tunggal dan anaknya mula menerima sinar apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia membantu mencari tempat tinggal yang selesa untuk keluarga itu.

Ini berikutan penderitaan dialami R Suganthi, 53, dan anaknya sebelum ini mendapat perhatian umum selepas kisah mereka terputus bekalan makanan mendapat liputan media.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membantu mendapatkan tempat tinggal untuk dua beranak itu di rumah pangsa milik MBI.

"Kita sedia maklum dengan kesukaran hidup dua beranak itu, jadi kita akan mempertimbangkan dalam masa terdekat ini untuk mencari tempat tinggal untuk mereka.

"MBI akan berusaha melihat tempat tinggal mengikut kesesuaian keluarga ini," katanya ketika ditemui selepas hadir memberi sumbangan wang tunai dan barangan kepada keluarga berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.

Rumaizi berkata, pihaknya turut dimaklumkan sebuah pasar raya juga bersedia untuk menawarkan pekerjaan kepada ibu tunggal berkenaan.

"Sebelum ini dimaklumkan dia (Suganthi) bekerja sebagai pengawal keselamatan, jadi kita sudah berbincang dan sebuah pasar raya bersetuju untuk menawarkan kerja di situ," katanya.

Rumaizi menyampaikan sumbangan kepada R Suganthi. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Rumaizi menyampaikan sumbangan kepada R Suganthi. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Sementara itu, Suganthi berkata, dia sangat terharu dengan keprihatinan semua pihak apabila sudi membantu dan menghulurkan sumbangan kepada keluarganya.

"Saya sangat terharu, terima kasih kepada semua yang membantu dan memberi sumbangan kepada kami," katanya.

Menurutnya, dia turut berbesar hati apabila MBI bersedia membantu mencari tempat tinggal dan ditawar pekerjaan oleh sebuah pasar raya.

"Saya mempunyai masalah sakit tulang belakang selepas kemalangan sejak 2015, jadi doktor menasihatkan rehat dahulu selama setahun. Apabila sudah sihat, saya memang mahu bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 2:05 PM