Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Saya berasakan kritikan ini (pembangunan) Transit Aliran Ringan (LRT) normal, dahulu ketika pembangunan taman tema di Tambun orang ketawakan kami juga," kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kritikan dan kecaman netizen di media sosial yang menyifatkan cadangan pembangunan LRT di bandar Ipoh sebagai mustahil dan tidak relevan.

"Kita bukan bercakap pasal landasan LRT ini untuk hari ini tetapi berkenaan pembangunan 2035 yang mungkin melangkau hingga 2040, ia memakan masa 20 tahun dari sekarang.

"Jadi perkara ini (kritikan) biasa, saya yakin anak-anak kita yang hidup ketika 2030 hingga 2035 nanti akan berterima kasih dan mengatakan mujur orang dahulu merancang," katanya ketika sidang media ketika hadir pada program membudayakan amalan penggunaan tong sampah di Dataran Warisan Dato' Sagor di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, pihaknya menjangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang Ipoh diyakini mampu menjadi bandar pelancongan setanding seperti Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi.

"Ketika 20 tahun dahulu, saya masih ingat Meru di sini hanya ada estet, banyak lembu dan kerbau tetapi hari ini kita boleh lihat pembangunan Meru.

"Jadi, kita bercakap tentang masa hadapan, kalau kita tidak berbuat sesuatu dan gagal merancang hari ini bermakna kita gagal merancang untuk hari esok," katanya.

Rumaizi (dua dari kanan) di program membudayakan amalan penggunaan tong sampah di Dataran Warisan Dato' Sagor, Ipoh hari ini. Foto Balqis Jazimah Zahari
Rumaizi (dua dari kanan) di program membudayakan amalan penggunaan tong sampah di Dataran Warisan Dato' Sagor, Ipoh hari ini. Foto Balqis Jazimah Zahari

Menurutnya, berkenaan projek jangka panjang itu pihaknya sudah berbincang dan melihat potensi landasan kereta lama yang mungkin boleh dibangunkan.

"Banyak jajaran landasan kereta api lama yang mungkin kita akan bangunkan semula dengan LRT moden.

"Sebagai contoh, landasan kereta api lama di Jalan Ipoh ke Tanjung Rambutan yang kini sudah menjadi kedai makan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Perak berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di bandar raya ini sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dan menambah baik kemudahan awam pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilaporkan berkata, cadangan itu masih di peringkat kajian dengan kos pembangunan masih belum diputuskan.

Media kemudiannya turut melaporkan sebanyak 28 stesen LRT dicadang bakal dibangunkan di Ipoh dengan jumlah jarak keseluruhan sejauh 58 kilometer (km).

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di laman webnya, cadangan projek mewujudkan perkhidmatan LRT itu membabitkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 11:59 AM