Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang menunggu laporan sampel air Sungai Kuang, Chemor, di sini, yang didakwa tercemar akibat sisa ternakan dari ladang lembu berdekatan.

Pengarahnya Rosli Zul berkata, siasatan awal bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi tinjauan ke lokasi, baru-baru ini mendapati berlaku pencemaran air terhadap alur sungai yang mengalir ke Sungai Kuang.

"Secara visual (pemerhatian awal) kita mendapati Sungai Kuang pada asasnya tidak terjejas tetapi yang terjejas itu ialah alur air semulajadi yang bersambung dari kandang itu.

"Dari segi pengukuran kualiti air, kita sudah mengambil sampel dan menghantarnya ke Jabatan Kimia dan laporan penuh dijangka diketahui dalam tempoh sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kempen Pengumpulan Elektrik dan Elektronik (e-waste) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin di Chemor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Rosli berkata, pihaknya sudah menasihati pihak ladang untuk tidak melepaskan air kumbahan secara terus ke alur sungai, sebaliknya disalurkan ke takungan kolam berhampiran.

"Kebetulan ada pengusaha ladang pertanian di situ dan dia bertindak untuk membuat empangan penyekat, sekurang-kurangnya dapat membantu memperlahankan 'impact' air yang masuk ke dalam Sungai Kuang.

"Kumbahan ini tidak mendatangkan masalah kepada petani kerana najis haiwan ini adalah baja semulajadi, jadi tidak timbul isu," katanya.

Katanya, buat sementara waktu, pihaknya meminta penduduk mengelak daripada menggunakan sumber air dari sungai itu untuk kegunaan harian selain kegunaan pertanian sehingga keputusan sampel diperolehi.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Pengumpulan Eletrik dan Elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Pengumpulan Eletrik dan Elektronik (e-waste) di Dewan Komuniti Kampung Ulu Chepor Tambahan, Chemor. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Kita akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan JPV untuk menangani masalah ini agar peladang boleh menyambung aktiviti ternakan tanpa mencemarkan alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Rumaizi berkata, ladang ternakan haiwan terbabit sudah beroperasi sejak 30 tahun lalu dan mempunyai lesen yang sah.

"Kita sedang cari jalan terbaik, kita bercadang untuk mengarahkan pemilik ladang berpindah ke satu kawasan lain. Mungkin kita kena tambah baik sistem atau ubahsuai kandang berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 3:54 PM