Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membatalkan notis pengosongan kepada peniaga di Medan Selera Taman Meru di sini sekiranya mereka membantah projek naik taraf struktur bangunan itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, projek naik taraf struktur yang mahu dilaksanakan itu sebenarnya masih berada dalam peringkat cadangan.

"Sebenarnya baru cadangan dan belum ada apa-apa keputusan, satu cadangan diberikan kepada saya iaitu untuk menyewa keseluruhan dalam bentuk kontrak.

"Ideanya adalah bangunan tempat sama dengan struktur bangunan asal akan diubahsuai semula iaitu medan selera dengan konsep baharu yang bukan secara bangunan berstruktur, tetapi sekiranya mereka peniaga tidak bersetuju, notis pindah sementara itu kita batalkan, tiada masalah," katanya kepada sidang media selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI dan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd di Dewan Azlan Shah MBI di sini, hari ini.

Rumaizi berkata, cadangan awal naik taraf itu tidak menghilangkan fungsi sebagai medan selera dan cuma akan ubahsuai dalam bentuk konsep lebih moden.

"Cadangan daripada jurutera adalah untuk membuat dalam bentuk kabin yang membabitkan kos yang lebih rendah sedikit dan oleh kerana hendak membuat kabin mungkin makan masa dua hingga tiga bulan kita syorkan mereka dipindahkan sementara di gerai MBI sedia ada agar dapat juga pendapatan dalam tempoh itu.

"Jadi, cadangan itu juga perlu kita fikirkan dan bawa ke mesyuarat dahulu, tetapi kalau peniaga sudah tidak bersetuju notis yang diterima itu kita batalkan dan cadangan untuk naik taraf itu mungkin kita tangguh. Ini bermaksud peniaga berniaga seperti biasa," katanya

Menurutnya, sebelum ini sesi libat urus bersama mereka yang terbabit termasuk peniaga sudah diadakan sebanyak dua kali bagi berbincang berhubung perkara itu.

Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin bercakap pada sidang media selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI dan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd di Dewan Azlan Shah MBI. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin bercakap pada sidang media selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI dan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd di Dewan Azlan Shah MBI. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Dalam hal ini, jika perlu juga untuk bina baharu, kita akan cuba berunding dengan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan untuk membiayai kos naik taraf sebab ia membabitkan kos tinggi," katanya.

Katanya, cadangan naik taraf Medan Selera Taman Bersatu itu juga adalah antara pelaksanaan kajian semula medan selera tidak aktif dan terbiar di Bandaraya Ipoh.

"Sebelum ini kita berhasrat selain medan selera kita juga akan menaiktaraf pasar, kita sudah bermula di Medan Taman Kanak-kanak (TKK), Medan Selera Tasek dan kemudian kita ke Meru dan Buntong, kita akan buat satu-satu,"katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan MBI menukar Medan Selera Taman Meru sini, menjadi sebuah pusat pendidikan swasta, mendapat bantahan peniaga yang hilang punca pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak yang juga wakil peniaga Medan Selera Taman Meru, Nor Rizan Abdul Rani, berkata dia bersama peniaga lain menerima notis daripada MBI pada Ogos lalu yang meminta mereka mengosongkan tempat perniagaan terbabit pada 15 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 3:35 PM