Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Mural popular 'Air Kopi O Ikat Tepi' dihasilkan pelukis terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic di Jalan Tun Sambanthan di sini, dirobohkan atas dasar perjanjian awal pemilik bangunan berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak boleh menghalang berikutan bangunan itu adalah milik persendirian.

"Kita tidak boleh (halang roboh) sebab ia perjanjian dua pihak antara pemilik bangunan dan pelukis itu.

"Difahamkan perjanjian itu bertempoh, seperti dalam konsep pemasaran yang mana kita membenarkan ia dalam tempoh berapa tahun dan selepas itu bergantung kepada mereka," katanya pada sidang media selepas hadir melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 Membasmi Wabak Dan Hotspot Denggi di Masjid An Nur, Batu 8, Ulu Kinta di sini, hari ini.

RUMAIZI (duduk, tengah) pada sidang media selepas  melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 Membasmi Wabak Dan Hotspot Denggi di Masjid An Nur. FOTO Balqis Jazimah Zahari
RUMAIZI (duduk, tengah) pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesihatan Persekitaran 2022 Membasmi Wabak Dan Hotspot Denggi di Masjid An Nur. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Ditanya adakah ada lagi bangunan yang mempunyai lukisan mural diroboh untuk pembangunan, Rumaizi berkata, setakat ini hanya mural Air Kopi O Ikat Tepi saja.

Beliau berkata, pihaknya di masa hadapan akan menambah pelbagai lukisan mural untuk tarikan pelancong.

"Mural ini kita akan tambah lagi, memang dalam perancangan kita untuk menggerakkan bagi memperbanyakkan lagi mural di Ipoh ini.

"Mungkin selepas ini pelukis lain pula, pelukis ini selepas satu tempoh kita kena berubah mengikut trend baharu, dalam konsep pasaran sentiasa perlu pada perubahan," katanya.

MURAL popular ‘Air Kopi O Ikat Tepi’.
MURAL popular ‘Air Kopi O Ikat Tepi’.

Katanya, mural adalah sebahagian daripada pemasaran untuk menggerakkan Ipoh sebagai bandar pelancongan di masa hadapan

Media sebelum ini melaporkan, mural Air Kopi O Ikat Tepi dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel di sini.

Mural berkenaan yang mempamerkan cara popular kopi dihidangkan di Malaysia dalam beg plastik yang diikat dengan tali, bukan saja mencantikkan bangunan tetapi menjadi tarikan pelancong.

Terdapat dua mural di tapak pembangunan hotel yang dicadangkan dengan satu daripadanya membabitkan karya seni Zacharevic dan satu lagi mural di Jalan Panglima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:14 PM