Mohd Zain (lima dari kanan) dan Azhar (empat dari kanan) bergambar bersama wakil NGO selepas MoU di IPGKTI. FOTO Mary Victoria Dass
Mohd Zain (lima dari kanan) dan Azhar (empat dari kanan) bergambar bersama wakil NGO selepas MoU di IPGKTI. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Demi memastikan kelancaran Program Qurban 1443H/2022 di Afrika, Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa NGO lain dan Syarikat NHM Excellent Enterprise di sini, hari ini.

Pengarah IPGKTI, Mohd Zain Badui berkata, kerjasama itu diharap dapat mewujudkan sinergi baharu dalam pelaksanaan ibadah korban bagi golongan yang dihimpit isu kebuluran, kemiskinan dan kekurangan fasiliti di negara berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban berkenaan akan dilaksanakan oleh wakil NHM Excellent.

"Kami serahkan tanggungjawab berkenaan kepada kumpulan itu dalam menjayakannya sejak 2019 di beberapa kawasan di Afrika.

"Mengikut rekod, pada 2019, sebanyak 22 lembu dikorbankan dan bilangan itu meningkat kepada 43 pada 2020 dan diikuti 148 lembu pada tahun lalu.

"Kami yakin pada tahun ini program ini akan menerima sambutan lebih baik berbanding ketika negara mengharungi pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Akujanji Persefahaman Program Qurban 1443 di IPGK Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, pihaknya berharap NGO mampu mewar-warkan program ibadah korban berkenaan supaya ia menerima penyertaan daripada lebih ramai umat Islam dari seluruh negara.

Menurutnya, diharap penganjuran program berkenaan juga mampu memupuk nilai insaniah dalam kalangan umat Islam termasuk penuntut di institut berkenaan supaya menjadi pewaris kepada kepemimpinan negara.

Katanya, sebelum ini IPGKTI juga terbabit dengan pelbagai aktiviti amal termasuk misi bantuan pasca banjir di Temerloh, Pahang dan Johor, misi bantuan ke kawasan pedalaman di Sabah, program kelas rimba perkampungan Orang Asli di Johor dan Pahang serta Program Bakul Ramadan dengan kerjasama NGO.

"Malah kami melihat kerjasama dengan NHM yang sudah terjalin sebagai perkongsian pintar dan usaha sama bagi tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

"Sebagai umat Islam, tiada sebarang halangan bagi kita bagi melaksanakan pelbagai cara untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. Akhirnya yang sampai kepada Allah hanyalah ketaqwaan yang membawa berkat serta makna tidak ternilai," katanya.

Hadir sama, Penasihat Syariah NHM Excellent Azhar Ab Shukur; Timbalan Pengarah IPGK Temenggong Ibrahim Johor, Dr Wan Noor Siah Wan Abdullah; Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Islam, IPG Temenggong Ibrahim, Nordin Monel; Pengerusi Alumni Seri Temenggong, IPG Temenggong Ibrahim, Basiran Jasman; Setiausaha Persatuan Kebajikan Temenggong Prihatin Johor Bahru, Norliza Samin; Pengerusi Persatuan Sarana Ibu Bapa dan Pensyarah IPGKTI, Abd Karim Muhammad; Pengerusi Masjid Jamek Parit Kahar, Miswan Saman dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekawan Desa, Maimon Siraj.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 5:21 PM