WAKIL EZ Qurban Sdn Bhd dan IKIM bergambar kenangan selepas memeterai kerjasama strategik bagi Program Korban Perdana. FOTO ihsan EZ Qurban
WAKIL EZ Qurban Sdn Bhd dan IKIM bergambar kenangan selepas memeterai kerjasama strategik bagi Program Korban Perdana. FOTO ihsan EZ Qurban
Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Peneraju industri ibadah korban, EZ Qurban Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bagi Program Korban Perdana yang akan berlangsung bermula 10 Zulhijjah yang dijangka pada  29 Jun hadapan.

Kerjasama julung kali diadakan ini turut membabitkan Waqaf An-Nur Corporation Berhad yang menjadi penaja tempat rasmi di Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang di Johor.

Sebanyak 100 lembu bernilai RM490,000 akan dikorbankan dalam program itu dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga di sekitar Pasir Gudang.

Program Korban Perdana itu juga membabitkan badan sukarelawan daripada Akademi Mutawwif Sdn Bhd dan Yayasan EZ Prihatin bagi membantu melancarkan program yang bakal dijalankan.

Pengasas EZ Qurban Sdn Bhd, Azhar Ab Shukur berkata, kerjasama antara dua institusi Islam besar dalam program seperti ini diharapkan dapat memberi impak yang baik khususnya mengenai kesedaran dan kefahaman ibadah korban itu sendiri.

"Pengalaman selama 16 tahun dalam mengendalikan ibadah korban dalam dan luar negara akan digunakan sebaiknya bagi memastikan program berjalan lancar.

"Saya juga menyeru agar masyarakat Islam di Malaysia khususnya agar mengambil peluang besar melaksanakan ibadah korban yang disyariatkan buat umat Islam setahun sekali sebagai tanda kasih kepada Allah SWT," katanya ketika memberi ucapan di majlis perasmian Program Perdana IKIM dan EZ Qurban yang diadakan Dewan IKIM, Jalan Duta, baru-baru ini.

Beliau berkata, EZ Qurban memberi peluang kepada mereka yang mahu menyertai ibadah korban tahun ini agar segera mendaftar kerana slot peserta korban amat terhad.

Menurutnya, pendaftaran boleh dibuat di laman sesawang rasmi EZ Qurban www.ezqurban.org atau terus hubungi talian bebas tol 1800-885-885 untuk sebarang pertanyaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 11:43 AM