GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


KEMENTERIAN Pendidikan akan mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada guru yang mengajar di kawasan kritikal terutama di bandar besar termasuk Johor Bahru, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, berkata cadangan itu antara mekanisma difikirkan kementerian bagi mengatasi isu kekurangan guru berpunca kos sara hidup yang tinggi.

“Kita (kementerian) mempertimbangkan untuk memberikan elaun guru (bagi menyelesaikan isu kekurangan guru).

“Kami dapati punca utama kekurangan guru kerana mereka tidak berminat datang ke sini (mengajar) kerana kos hidup agak tinggi (di bandar besar seperti Johor Bahru),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah kekurangan guru semakin meruncing di bandar utama negara, terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai guru dalam perkhidmatan memilih kembali ke tempat asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sebelum ini dilaporkan berkata, kos sara hidup tinggi di bandar besar dikenal pasti antara punca ramai guru kembali ke kampung halaman untuk mengajar.

Nie Ching berkata, cadangan memberikan elaun khas guru itu diterima kementerian menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menangani masalah itu.

“Jadi satu daripada cadangan yang diterima kementerian adalah memberikan elaun khas untuk guru yang mengajar di kawasan spesifik.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat cadangan dan pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya ia sudah dimuktamadkan,” katanya.

Menyentuh penempatan guru di Sabah dan Sarawak, Nie Ching berkata, polisi kementerian menetapkan 90 peratus guru mengajar dari kedua-dua negeri itu.

“Kita (kementerian) sudah mencapai 87 peratus tetapi untuk mengawal kualiti guru kita tidak boleh buat tergesa-gesa.

“Kita tidak membuat pengumuman disebabkan ada kekosongan, sesiapa boleh memohon (penempatan) kerana perlu menjaga kualiti guru,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Pembukaan Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Kali Ketiga (PPIPK) 2018 di Dewan Seri Temenggong Ibrahim Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI) di Johor Bahru, hari ini.

Program tahunan itu menjadi satu pentas perkongsian ilmu mengenai penemuan baharu dalam amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) masa kini.

Program disertai 400 peserta sejajar dengan transformasi IPG terutama dalam memperkasakan bidang penyelidikan pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 12:12 PM