AHMAD Marwan bersama anaknya, Nur Aisyah di samping Kiki.
AHMAD Marwan bersama anaknya, Nur Aisyah di samping Kiki.
Hazira Ahmad Zaidi


KOTA BHARU: Seorang bapa sanggup membeli seekor kuda bagi membolehkan anak istimewanya yang menghidap sindrom Down menjalani rawatan ‘hippotherapy’ atau terapi berkuda.

Ahmad Marwan Abdul Rahman, 39, yang bertugas sebagai guru di Maahad Tahfiz Al Quran Pulai Chondong berkata, dia kuda betina dinamakan Kiki Adyat itu dibeli pada harga RM8,000,semata-mata untuk rawatan terapi anaknya, Nur Aisyah Maisarah, 8.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu menghidap sindrom Down sejak lahir tetapi ramai yang menyangka dia kanak-kanak normal kerana luarannya tiada beza dengan kanak-kanak lain.

“Sebelum ini, terapi berkuda membantu ramai kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) membina keyakinan diri.

“Jadi saya beli Kiki Adyat kira-kira dua bulan lalu untuk digunakan bagi proses terapi Nur Aisyah.

“Kuda berkenaan ditempatkan di Pusat Riadah Kuda, Bustan Stable untuk dijaga.

“Saya akan membawa Nur Aisyah ke pusat riadah berkenaan selepas pulang kerja untuk membolehkannya menunggang dan jalani program rawatannya.

“Dia jalani terapi itu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Lepoh.

Ahmad Marwan berkata, Nur Aisyah agak takut ketika pertama kali menjalani terapi kerana tidak biasa dengan kuda, tetapi lama-kelamaan keberaniannya terserlah dan kini dia lebih yakin.

Katanya, melihat perubahan positif anaknya itu, dia yakin terapi berkuda sangat membantu kanak-kanak OKU berkembang dan menjalani kehidupan mereka dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 7:57 AM