Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

Jika bayi anda didiagnosis sindrom Down, anda tentu risau mengenai masa depannya apatah lagi kanak-kanak seperti itu lazimnya boleh mengalami masalah kesihatan.

Sindrom Down boleh menjejaskan setiap bahagian badan dan mungkin menjurus kepada pelbagai komplikasi seperti masalah pergerakan otot sendi dan tulang, masalah penglihatan dan pendengaran, mudah terkena jangkitan, masalah penghadaman, paru-paru tidak normal dan potensi kecacatan jantung.

Mereka yang mempunyai sindrom Down juga mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat leukimia dan masalah lain yang berkaitan darah.

Penting bagi anak mendapat penjagaan kesihatan yang baik sepanjang hayatnya supaya sebarang masalah dapat dikesan dan diuruskan dengan baik. Mereka juga perlu kerap dibawa mendapatkan pemeriksaan kesihatan termasuk ujian pendengaran dan penglihatan.

Anak anda juga perlu mendapat perhatian daripada mereka yang pakar dalam masalah pembelajaran. Semua kanak-kanak sindrom Down mempunyai masalah pembelajaran. Namun, tahap keseriusannya berbeza bergantung kepada individu berkenaan.

Kebanyakan kanak-kanak sindrom Down mampu mencapai tahap perkembangan seperti belajar berjalan, menggunakan tandas, bercakap, membaca dan menulis tetapi mengambil masa untuk melakukannya bergantung kepada kemampuan sendiri.

Demi memastikan anak anda mencapai potensinya, pastikan dia mendapat penjagaan kesihatan yang baik serta menerima sokongan yang sepatutnya daripada segi sosial dan pendidikan.

Anak anda mungkin memerlukan bantuan tambahan seperti terapi percakapan, fisioterapi dan pendidikan khas. Seperti mana kanak-kanak lain, anak sindrom Down perlukan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga selain sokongan untuk membantu perkembangannya.

Sesetengah kanak-kanak sindrom Down dapat mengikuti pelajaran di sekolah biasa. Individu dewasa dengan sindrom Down juga dapat hidup dengan sihat dan aktif sehingga melepasi usia 50 tahun.

Bantuan yang paling dekat ialah pakar kanak-kanak atau doktor keluarga yang biasa memeriksa anak anda. Anak anda juga mungkin akan diletakkan di bawah penjagaan kumpulan pakar di hospital atau klinik kerajaan berdekatan.

Pakar kanak-kanak yang memeriksa anak anda mungkin akan merujuk anda kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Kiwanis Sindrom Down.

Di sini ada kelas untuk membantu dalam perkembangan serta pembelajaran anak anda. Di Malaysia, kanak-kanak sindrom Down boleh didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan sumber dan sokongan tambahan.

Membesarkan anak dengan sindrom Down boleh jadi satu cabaran besar, ia mungkin bukan sesuatu yang anda jangkakan. Ada masa yang sukar dan indah.

Tetapi anda akan dapat banyak sokongan daripada keluarga lain yang mempunyai pengalaman dalam membesarkan anak-anak sindrom Down mereka.

Kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak sindrom Down, jangan berputus asa dalam mencari cara dan ikhtiar untuk merawat anak masing-masing.

Jangan anggap anak sindrom Down tidak dapat dibantu dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang kepada mereka yang mencarinya.

Petikan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Bertakwalah kepada Allah dan berlakulah adil terhadap anak-anakmu.”

Pengalaman merawat anak sindrom Down, ada di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan keupayaan untuk berdikari.

Ada juga pesakit yang mendapat rawatan daripada umur enam bulan sehingga tujuh tahun dan ada juga anak yang sudah berumur hingga dewasa.

Paling penting, kita harus yakin sesuatu yang hanya berlaku dengan izin Allah. Maka, jika ada masa kita berasakan tidak mampu bertahan dengan masalah sindrom Down dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan, segera ingat bahawa apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:02 AM