Rina Harun.
Rina Harun.
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Intervensi dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kes kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sindrom down dikenali sebagai Bella selaras dengan akta yang sedang berkuatkuasa.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antaranya, ia adalah bagi menyelamatkan kanak-kanak dan menempatkannya di tempat selamat serta memberi perlindungan, memberi penjagaan dan perlindungan selaras Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak kanak-kanak, menyita pusat jagaan dan membantu pihak berkuasa dalam penyediaan laporan sosial kanak-kanak.

Rina berkata, pada 9 September lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib Bella.

Beliau berkata, antara NGO yang terbabit dalam pertemuan itu adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi & Salah Laku serta Persatuan Penguna Semboyan 1Malaysia.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dan OKU, saya sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan JKM.

"Alhamdulillah, berdasarkan pemantauan saya, adik Bella kini kembali ceria, dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Saya berharap pertemuan ini menjadi satu platform bagi mendengar pandangan dan suara NGO berkenaan.

"Wakil PDRM dan JKM juga sudah menjelaskan intervensi yang dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini dan saya berharap supaya kes adik Bella dapat diadili mengikut lunas perundangan," katanya pada kenyataan semalam.

Rina juga memohon orang ramai untuk segera membuat laporan kepada PDRM, talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam jika mengetahui atau mengesyaki kes pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak.

Sementara itu, penggerak #JusticeforBella, Mona Din berkata, pihaknya menyerahkan memorandum kepada Pejabat Peguam Negara untuk menyemak pertuduhan membabitkan kes Bella.

Mona berkata, tujuan semakan adalah untuk menambah pertuduhan kepada penganiayaan atau penderaan.

Beliau berkata, memorandum itu turut diserahkan kepada beberapa pihak lain termasuk Ketua Polis Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya secara peribadi merasakan Bella adalah anak Rina dan beliau memang memantau kes ini malah turut melawat Bella.

"Pada pertemuan itu, Rina bersetuju dan mahukan keadilan dicapai melalui saluran undang-undang," katanya kepada BH.

Pada 20 Ogos lalu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, mengabaikan mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:14 PM