Mata lebah.
Mata lebah.
Oleh Siti Jamilah Mohd Sukri dan Che Nurul Asyiqin Che Yusoff

Perspektif seseorang individu terhadap kehidupan menentukan tahap kecerdasan dalam memandang setiap episod kehidupan yang dilalui setiap hari sama ada ia baik atau buruk. Tidak keterlaluan jika dikatakan gaya fikir boleh menjadi salah satu mekanisme dalam menentukan kebahagiaan hidup seseorang individu.

Pemikiran yang baik sudah tentu akan memberikan ketenangan kerana bebas daripada pemikiran fahisyah yang mendorong kepada kejahatan dan kebinasaan seperti hasad dengki, penyakit 'ain, tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan sebagainya. Hakikatnya, kini penggunaan media sosial yang semakin menular telah menjadi faktor terbesar dalam mempengaruhi gaya fikir seseorang individu.

Jika setiap paparan di media sosial dilihat dengan pandangan negatif, sudah tentu akan memberikan pengaruh yang negatif dalam memahami sesuatu peristiwa yang berlaku setiap hari. Penggunaan media sosial telah dijadikan platform untuk berkongsi aktiviti harian bersama ahli keluarga, sahabat dan rakan sepejabat sebagai kenang-kenangan. Sebagai contoh, ada segelintir berkongsi di media sosial tentang penulisan, program yang dihadiri dan aktiviti kemanusiaan sebagai wadah untuk menggalakkan orang ramai terlibat dalam aktiviti berfaedah. Jika seseorang individu melihat perkongsian itu dengan pandangan 'mata lebah,' mereka akan melihatnya sebagai perkara yang positif.

Tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai motivasi dan suntikan untuk terlibat aktif dalam perkara kebaikan. Namun, ada juga segelintir melihat perkongsian itu dari perspektif yang tidak baik dan menganggap perkongsian di media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram sebagai medium untuk menunjuk- nunjuk nikmat dan kejayaan yang diperoleh. Keadaan ini boleh membawa masalah mental iaitu gangguan kegelisahan, cemas dan tidak tenang secara melampau (anxiety) jika tidak dibendung melalui cara fikir yang sihat. Oleh itu, ahli pujangga menggunakan perumpaan 'mata lalat' dan 'mata lebah' sebagai kiasan untuk melihat gaya fikir seseorang insan dalam memanifestasi kefahaman terhadap sesuatu peristiwa atau isu. Siapakah sebenarnya golongan yang digelar sebagai mata lalat atau mata lebah?

Golongan yang memandang sesuatu perkara dengan penuh kebaikan, indah dan menyeronokkan walaupun secara fizikalnya mempunyai pelbagai kekurangan digelar golongan yang memiliki mata lebah. Golongan ini biasanya mempunyai sifat tenang, tidak mudah melenting dan memahami sesuatu perkara dengan berhikmah. Sebagai contoh jika berlaku musibah atau kegagalan, mereka tidak cepat berputus asa dan menganggap ia satu cara Tuhan menunjukkan kasih sayang kepada hambanya supaya ujian itu dilalui dengan sabar dan penuh kesyukuran. Kekentalan semangat juang rakyat Palestin untuk terus berjuang melawan kekejaman tentera Zionis Israel dengan penuh kesabaran dan keredaan adalah antara contoh golongan yang melihat ujian dengan pandangan mata lebah.

Walaupun secara mata kasar, ujian yang dilalui terlalu berat dan terlalu kejam, rakyat Palestin merasai kemanisan jihad kerana yakin syurga dalam genggaman mereka iaitu, tempat dijanjikan kenikmatan dan kebahagiaan abadi. Jika mereka melihat dengan pandangan mata lalat sudah tentu mereka akan berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Manakala, golongan yang sentiasa melihat perkara dalam keadaan yang tidak baik, sentiasa mencari kesalahan dan keburukan serta kecacatan pula digelar sebagai golongan yang memiliki mata lalat. Golongan seperti ini akan sedaya-upaya mencari kekurangan dan kecacatan agar dapat dijadikan sebagai isu untuk menunjukkan ketidakpuasan hati sehingga boleh menjatuhkan seseorang individu. Malah, mereka akan bertepuk tangan apabila melihat seseorang individu yang tidak disukai jatuh terduduk, ditimpa kesusahan dan bencana akibat masalah hati yang dimiliki.

Lebih parah lagi, ada sebahagian akan mencari-cari kesalahan untuk diperbesarkan dan dikongsi dengan masyarakat agar lebih ramai lagi boleh mengetahui aib dan mengutuk individu yang terlibat di dalam sesuatu isu.

Kini, saban hari, kita disajikan dengan pelbagai isu di media sosial. Lebih mendukacitakan, rata-rata masyarakat sudah tidak mempunyai sifat malu untuk mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, melampau dan mengandungi sumpah seranah semata-mata ingin 'memanaskan' sesuatu isu tular. Padahal, watak mereka tidak ada kepentingan langsung cuma sekadar menambahkan perisa supaya lebih banyak lagi keaiban dibongkar terutamanya apabila melibatkan isu hiburan dan politik di tanah air kita.

Persoalannya, sejauh manakah corak gaya fikir seseorang individu boleh menjadi faktor penentuan kebahagiaan hidup? Sudah tentu ia boleh mempengaruhi kehidupan seseorang individu lebih-lebih lagi akal adalah nikmat istimewa kepada manusia dan mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam syariat Islam. Masakan tidak, penjagaan akal daripada perkara yang boleh merosakkan akal yang sihat termasuk dalam salah satu prinsip Maqasid Shariah.

Allah SWT menekankan bahawa betapa pentingnya menggunakan akal untuk mencari petunjuk kebenaran, memahami hakikat diri dan hakikat alam semesta untuk mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT. Sebaliknya, jika akal tidak digunakan dengan sebaiknya untuk memikirkan perkara baik, sudah tentu akan membawa manusia ke lembah kebinasaan. Dalam keadaan ini, akal menentukan gaya fikir lalu diaplikasikan kepada tindakan.

Kesimpulannya, pilihan di tangan individu sama ada ingin memiliki mata lebah atau mata lalat. Berfikir secara positif akan melahirkan tindakan positif seterusnya membentuk salah satu elemen gaya hidup yang sihat sejajar saranan al-Quran dan sunah.

Penulis Siti Jamilah Pensyarah Pengurusan Islam, Kolej Universiti Yayasan Pahang; Manakala Che Nurul Asyiqin graduan sarjana, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:02 AM