Mohd Yahya mengurus kebajikan penghuni di pusat jagaan di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor di Jalan Keembong 45 Taman Johor Jaya. FOTO ihsan pusat jagaan
Mohd Yahya mengurus kebajikan penghuni di pusat jagaan di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor di Jalan Keembong 45 Taman Johor Jaya. FOTO ihsan pusat jagaan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Walaupun dirinya berstatus orang kurang upaya (OKU), ia tidak menjadi penghalang kepada Mohd Yahya Haidrus, 51, untuk menubuh dan menguruskan pusat kebajikan bagi membantu golongan senasib sejak enam tahun lalu.

Atas dasar itu, Mohd Yahya mengasaskan Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor yang beroperasi di Jalan Keembong 45, Taman Johor Jaya memberi perlindungan kepada 20 OKU.

Beliau yang berasal dari Pekan Jabi, Segamat berkata, penghuni pusat jagaan itu terdiri daripada kanak-kanak dan dewasa yang mengalami masalah Sindrom Down, Cerebral Palsy (CP) dan autisme berusia antara tiga hingga 30-an.

Menurutnya, bagi melancarkan pengurusan pusat jagaan berkenaan, dia turut dibantu oleh isteri, Rokiah Mohd Ali, 47 serta lima pekerja.

"Rutin harian saya adalah untuk menghantar dan mengambil kanak-kanak yang belajar di kelas pendidikan khas di sekolah berhampiran.

"Saya juga akan membawa mereka ke hospital dengan ditemani seorang pekerja untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mengikut temujanji diberikan pihak hospital.

"Malah saya juga bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan penghuni di sini kerana selain pemakanan mereka, kami juga perlu menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu khas disyorkan doktor dan sebagainya," katanya yang turut berkerusi roda.

Mohd Yahya berkata, pengalaman bekerja di sebuah pusat jagaan OKU di Kulai serta ilmu dikongsi oleh mendiang majikannya, V Rajamanikam memberi ilham bagi menubuhkan pusat kebajikan yang diuruskannya sendiri.

Dia yang juga OKU fizikal sejak kecil akibat demam panas berkata, niatnya adalah untuk membantu golongan itu menjalani kehidupan lebih baik, berdikari dan memiliki masa depan cerah seperti golongan normal.

"Kami menggalakkan penghuni membaca dan menulis serta bergiat dalam aktiviti luar di kawasan pusat jagaan. Kami juga menyediakan rawatan fisioterapi dan terapi di bilik sensori bertujuan membantu perkembangan kanak-kanak yang menghadapi masalah membabitkan deria seperti mata, hidung, telinga, lidah, sentuhan, koordinasi badan dan pergerakan melawan graviti," katanya ketika ditemui.

Mohd Yahaya berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang pandemik Covid-19, dia tidak berputus-asa untuk mengendalikan pusat jagaan itu.

Beliau berkata, antara cabaran utama adalah daripada segi perbelanjaan bulanan berikutan sumbangan yang diperoleh berkurangan selain sejak pusat jagaan itu beroperasi pihaknya tidak menetapkan yuran yang perlu dibayar penghuni yang memiliki waris.

Menurutnya, selain itu, pihaknya juga diuji apabila penghuni di pusat jagaan berkenaan dikesan positif Covid-19.

Katanya, biarpun dia dan isterinya bebas daripada jangkitan berkenaan, mereka mengambil keputusan tinggal di bilik berasingan di situ demi mengurus keperluan penghuni dan pekerja.

"Ketika itu saya mahupun isteri hanya memikirkan nasib pekerja dan anak-anak syurga yang diamanahkan kepada kami.

"Alhamdulillah semua kembali normal dan sihat," katanya.

Mohd Yahya berkata, dia berharap dapat menyediakan latihan kepada penghuni pusat jagaan itu pada masa depan.

"Sebagai OKU, jangan menjadikan kekurangan kita sebagai halangan bagi mencapai impian atau membantu golongan senasib dengan kita.

"Sekiranya saya tidak menerima Kasih Sayang atau didikan daripada ibu bapa serta sokongan daripada masyarakat, saya juga tidak mungkin berjaya," katanya.

Mohd Yahya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut tersenarai dalam buku Successful People in Malaysia oleh British Publishing House pada 2019 dan dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh OKU Negeri Johor pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, OKU, Warga Emas dan Sukarelawan Peringkat Negeri Johor 2018.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu juga pernah menerima Doktor Falsafah Kehormat dalam kerja sosial daripada sebuah universiti antarabangsa di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 4:46 PM