BARISAN pelakon drama From Saga With Love bertemu Gabenor Saga Jepun.
BARISAN pelakon drama From Saga With Love bertemu Gabenor Saga Jepun.
Norhayati Nordin


Drama bersiri From Saga With Love yang dibarisi ramai pelakon hebat tanah air selain menjalani penggambaran di Jepun menarik perhatian ramai pihak.

Musim pertama drama yang ditayangkan di platform penstriman Viu ini menampilkan lakonan Siti Khadijah Halim sebagai teraju utama disamping Sophia Albarakbah, Fimie Don, Ikmal Amry dan ramai lagi.

Drama romantik komedi arahan Umi Salwana Omar memulakan penggambarannya untuk musim keduanya di Saga, Jepun pada 16 Mei lalu.

Ketika di negara Matahari Terbit itu, Siti Khadijah, Ikmal, Fimie, Sophia serta Hun Haqeem berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama Gabenor Saga, Yoshinori Yamaguchi di pejabatnya sehari sebelum penggambaran bermula.

Sesi pertemuan turut dihadiri Umi Salwana selain Penerbit, Lina Tan, Pengarah Produksi Viu, Imillya Irwani Roslan serta ketua bahagian pentadbiran Saga, wakil Saga Film Commission, jurubahasa dan media.

Kedatangan pelakon dan produksi From Saga With Love disambut baik oleh Yamaguchi yang juga menyatakan sokongan beliau terhadap penggambaran drama bersiri ini.

"From Saga With Love musim pertama menerima maklum balas yang sangat baik dan saya sangat teruja menantikan sekual drama bersiri ini," kata Yamaguchi.

SITI Khadijah gembira jalani penggambaran di Saga.
SITI Khadijah gembira jalani penggambaran di Saga.

Sementara itu, Siti Khadijah teruja apabila dapat menyambung penggambaran bagi musim seterusnya drama itu.

"Saya sangat gembira apabila dapat kembali semula menjalani penggambaran di Saga. Ini adalah sumbangan kecil saya dalam mengukuhkan lagi hubungan baik antara Saga dan Malaysia." katanya.

Selain berkongsi pendapat ketika sesi berkenaan, mereka juga bertukar-tukar cenderahati bersama Yamaguchi.

Malah, pertemuan ini berkenaan turut mendapat liputan media dari Jepun antaranya NHK TV, Saga TV, Bunbun TV, Saga Shimbun dan Asahi Shimbun.

From Saga With Love musim kedua bakal menemui penonton pada Oktober depan.

Untuk mengetahui lebih lanjut layari laman web atau media sosial Viu.

Terdahulu, musim pertama drama From Saga With Love mengisahkan mengenai watak Karma lakonan Siti Khadijah, seorang pempengaruh yang terpaksa menipu untuk menjadi pembantu peribadi serta jurubahasa bagi pelakon terkenal, Bianca Rozario (lakonan Sophia Albarakbah) ketika membuat lawatan di Saga, Jepun.

Pelbagai kisah lucu, cemas dan menarik dilalui Karma sepanjang perjalanan hidupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 6:11 AM