Muhamaad Razis Ismail


Baru-baru ini, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mengumumkan kediaman baharu berharga RM300,000 adalah paling banyak dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Abdul Razak Yusak dilaporkan berkata, berdasarkan data agensi itu, sebanyak 36.3 peratus atau 2,028 unit rumah baharu yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini berharga bawah RM300,000.

Dilaporkan, negeri yang paling banyak melancarkan rumah baharu pada suku kajian adalah Johor (1,819 unit) diikuti Selangor (1,479 unit) dan Pahang (692 unit).

Secara keseluruhan, kata Abdul Razak, pelancaran rumah baharu pada suku pertama tahun ini mencatatkan sebanyak hampir 5,600 unit, meningkat 19 peratus berbanding suku pertama tahun lalu dari segi bilangan unit, manakala prestasi jualan mencatatkan kadar 20 peratus atau 1,119 unit.

Bagi pekerja swasta, Abdul Rashid Hamid, 27, peningkatan pelancaran kediaman baharu berharga bawah RM300,000 dilihat sebagai berita baik yang dinanti-nantikan golongan muda sepertinya untuk memiliki kediaman sendiri.

"Saya berharap usaha ini diteruskan untuk satu tempoh yang lebih lama untuk membantu lebih ramai masyarakat memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

"Pada masa sama, saya berharap, kerajaan dapat menyediakan insentif tertentu termasuk memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah untuk meringankan beban pembeli rumah," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Bidang Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Norulelin Huri berkata, pengumuman NAPIC itu dilihat satu perkembangan yang positif kepada sektor hartanah negara.

"Ia menunjukkan satu prestasi yang baik dalam pasaran hartanah.

"Bagaimanapun, penawaran itu perlulah menepati permintaan di kawasan berkenaan supaya ia tidak menyumbang kepada isu ketidaksepadanan iaitu penawaran yang banyak di lokasi tidak tepat," katanya.

PENINGKATAN pelancaran kediaman di bawah RM300,000 satu perkembangan yang positif kepada sektor hartanah negara.
PENINGKATAN pelancaran kediaman di bawah RM300,000 satu perkembangan yang positif kepada sektor hartanah negara.

Menurutnya, faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah kemungkinan merujuk kepada penurunan jumlah lambakan hartanah tidak terjual pada suku tahun ini.

"Untuk kesan jangka pendek akan terdapat lebih banyak rumah bawah RM300,000 yang dibina mungkin juga akan mendapat sambutan pada golongan sasaran. Persoalan timbul, adakah pasaran akan terus kekal?

"Bagi kesan jangka panjang, ia dapat membantu lebih ramai pembeli terutamanya, golongan B40 untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

Namun, Norulelin turut melahirkan kebimbangan terhadap kemampuan golongan B40 untuk memiliki kediaman ini berikutan kenaikan kos sara hidup masa kini.

"Adakah golongan B40 akan mampu untuk membayar komitmen rumah bulanan sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan sedangkan purata pendapatan isi rumah mereka di bawah RM5,000?

"Apabila penjualan ini gagal memenuhi keperluan golongan sasar, maka kemungkinan penjualan akan dibuka kepada golongan yang berkemampuan.

"Mungkin juga sekiranya tiada sekatan pembelian hanya untuk golongan sasaran, hanya golongan berkemampuan akan membelinya. Oleh itu, masalah akan timbul, apabila golongan berkemampuan, akan membelinya dengan tujuan pelaburan (sewaan atau beli hari ini, jual kemudian). Ini akan menyebabkan lonjakan harga rumah tidak dapat dibendung," katanya.

PENINGKATAN kediaman di bawah RM300,000 perlu bergerak seiring dengan kos harian lain.
PENINGKATAN kediaman di bawah RM300,000 perlu bergerak seiring dengan kos harian lain.

Beliau melihat cadangan kerajaan untuk membantu rakyat dengan meluluskan dan menyokong lebih banyak rumah dalam segmen harga terkawal adalah suatu usaha yang sangat positif dan sangat menitik beratkan isu rakyat terutamanya kepada golongan sasaran yang amat memerlukan bantuan.

"Namun, ia perlulah bergerak seiring dengan kos-kos harian yang lain juga. Tidak semestinya dalam sektor hartanah sahaja," katanya.

Norulelin menasihatkan masyarakat hendaklah memberi keutamaan kepada komitmen individu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memiliki kediaman.

"Saya mohon supaya bakal pembeli membuat percaturan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan akan datang.

"Rumah adalah aset yang mampu memberi pulangan kepada pembeli namun jika keadaan ekonomi individu tidak membenarkan, maka boleh cari pilihan lain seperti menyewa dahulu dengan bayaran yang dirasakan mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:00 AM