SERONOK dapat buat persembahan secara bersemuka dengan peminat di Malaysia.
SERONOK dapat buat persembahan secara bersemuka dengan peminat di Malaysia.
Georgie Joseph


Status artis tidak disangkal memiliki keistimewaan tersendiri di mata orang ramai. Namun, penulis lagu dan penyanyi JP Saxe merasakan dia tidak perlu meletakkan jurang corak pemikirannya dengan orang biasa lain.

Justeru, JP Saxe atau nama sebenarnya Jonathan Percy Starker Saxe, 31, mendapati pemikiran begitu menjadi kelebihan buat diri. Dia sendiri menyukai hal umum yang disukai orang ramai.

Malah jadi senjata terpenting dalam proses berkarya. Jejaka kelahiran Toronto, Kanada ini tidak menafikan dulunya dia merasakan menjadi artis kena perlu rasa istimewa.

"Saya dapat memperkasa diri apabila memikirkan diri saya seperti orang biasa lain. Jika saya sukakan sesuatu, saya percaya mereka juga akan sukakannya.

"Selama ini saya ingat kuasa bergelar sebagai artis itu yang membuatkannya unik. Tapi, sekarang saya berpendapat menjadi biasa itu lebih tepat. Kebiasaan yang membuatkan kuasa kita lebih besar.

"Cita rasa saya dalam muzik pun tidak spesifik. Band kegemaran saya adalah Coldplay, saya sukakan Beyonce, minat biasa yang ramai orang lain suka," katanya.

JP Saxe menekankan bahawa pentingnya untuk dia merasa dekat dengan cerita hidup ramai. Dia paling suka meneroka julat pelbagai emosi yang mampu dirasai serentak dalam satu-satu masa.

Hal itu juga menjadi pendorong penting dalam dirinya untuk tidak takut bersifat terbuka dalam lagunya. Dia akui bahaya menjadi erti adalah memberi ruang kepada orang melihat kehidupan peribadi ikut keselesaan.

"Tapi, saya melihat keindahan apabila bersikap lebih terbuka mengenai pengalaman emosi, sama ada dalam lagu atau kehidupan, orang rasa semakin dekat dengan kita.

"Saya tidak rasa perlu terlalu berahsia terhadap orang yang saya rasa dekat dengan saya. Saya mahu layan pendengar saya seperti mereka adalah sahabat baik saya.

"Saya ingin bercerita kepada mereka sebagaimana saya lakukan kepada sahabat rapat sendiri," katanya.

Menyentuh pasal proses kreatifnya, JP Saxe menjadikan penulisan jurnal sebagai proses terbaik dalam menghasilkan lagu terbaik. Dia enggan menulis lagu tanpa ada keikhlasan dalam diri.

Dalam proses itu, dia akui dirinya juga akan berdepan situasi yang tidak disukai. Bagaimanapun, dia merasakan cabaran itu sebenarnya yang menjadikannya seronok untuk dialami.

"Saya banyak menulis jurnal. Kalau saya fikir mengenai menulis lagu semata-mata, saya tidak rasa kejujuran itu. Tapi, kalau saya tulis jurnal, saya boleh kembali menyelak semula tulisan itu dan rasa ada bait-bait yang boleh jadi lagu.

"Itu menjadi antara sebahagian proses terpenting saya. Saya juga dapati pendekatan tidak takut melakukan sesuatu yang saya tidak suka sangat membantu untuk saya akhirnya lakukan apa saya suka sebenarnya.

"Selalunya lagu-lagu terbaik tersorok di bawah timbunan puluhan muka surat karya yang saya tulis. Saya kena selak semuanya untuk mencari dan menulis lagu yang sebenarnya saya lebih suka," katanya.

JP Saxe juga tidak menyangkal pendapat orang lain sangat penting untuk keberhasilan lagunya. Namun, pada masa sama percaya bahawa orang pertama yang perlu mencintai karyanya adalah dia sendiri.

"Mendapatkan kepastian adalah hal yang tidak boleh dielakkan dalam dunia artistik. Kami adalah golongan yang ego untuk meraih perhatian. Tapi, reaksi paling utama yang saya dahulukan adalah reaksi sendiri.

"Saya sendiri kena dengar banyak kali lagu ditulis sebelum orang lain. Kalau saya tak boleh nyanyi dan cintai karya itu, bermakna saya tidak mampu berikan persembahan terbaik terhadapnya," katanya.

Kini rancak mempromosikan albumnya berjudul A Grey Area, dia ibaratkan album itu sebagai 'zon selamat' pendengar bagi mentakrifkan pengalaman hidup sendiri dengan cerita dalam lagunya.

"Album itu keseluruhannya sebagai medan untuk membiarkan kita menjadi lebih 'manusia' dengan merasai pelbagai jenis emosi. Memang orang ingin keringkasan hidup, tapi tidak mengapa berdepan banyak jenis emosi dalam satu masa.

"Saya sentiasa mahukan sesiapa yang mendengar muzik saya supaya tidak memikirkan pasal saya. Sebaliknya fikir pasal bahagian hidup sendiri yang mereka boleh dalami sebolehnya.

"Biar lagu itu membuka tingkap buat mereka kaitkan dengan pengalaman hidup sendiri," katanya.

Syukur ada peminat di Malaysia

Pencapaian JP Saxe yang paling membanggakan setakat ini semestinya apabila menjadi calon kategori Lagu Terbaik menerusi If The World Was Ending pada Anugerah Grammy 2021.

Mengimbau semula saat namanya diumumkan tercalon sebaris pesaing bernama besar lain termasuk Beyonce, Taylor Swift, Billie Eilish dan Dua Lipa itu, dia sangat teruja. Namun, pada masa sama ambil masa untuk percayainya.

"Keutamaan pertama saya ketika itu adalah berkongsinya dengan orang tersayang. Saya telefon bapa saya, kawan-kawan, berkongsi kegembiraan dan keterujaan mengenainya. Muzik bagi saya adalah sebuah semangat berpasukan.

"Memang ia kelihatan seperti misi seorang individu saja, tapi sejujurnya ia adalah hasil kerjasama sebagai satu pasukan. Kegembiraan jadi lebih bermakna apabila dikongsi bersama sebagai sebuah pasukan.

"Saya rasai bahagian paling mengujakan dalam hidup saya mula jadi kenyataan bila orang tanya kalau itu lagu saya. Barulah saya mula menghayati pencapaian itu kerana saya ada masalah menghayati sesuatu perkara," katanya.

Hadir berkunjung pertama kali ke Malaysia baru-baru ini, JP Saxe sebenarnya tidak pernah bermimpi ada peminat dari sini. Katanya, dia paling suka kalau dapat bertentang mata sendiri dengan peminatnya.

"Berjumpa peminat secara bersemuka sangat berbeza berbanding jumpa mereka dalam talian. Saya sangat bersyukur ada orang sini, di Kuala Lumpur mendengar muzik saya.

"Ada saat tertentu dalam karier kita yang berlaku di luar jangkaan mimpi. Dapat berkunjung ke sini untuk membuat persembahan, ia sesuatu hal yang saya tidak tahu akan dapat.

"Saya tahu saya akan lakukan siri jelajah dalam dunia, ini tempat yang saya tidak pernah bayangkan akan dapat jejaki. Semua orang sangat mesra dan baik hati, saya sangat bersyukur," katanya.

JP Saxe berkunjung ke sini menjayakan showcase sulungnya A Grey Area World Tour in Kuala Lumpur yang berlangsung di The Bee, Publika. Seramai lebih 150 hadir pada acara anjuran Live Nation Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 6:00 AM