RAMLI puas hati hiburkan peminat. FOTO Rohanis Shukri
RAMLI puas hati hiburkan peminat. FOTO Rohanis Shukri
Najiy Jefri


Penyanyi Datuk Ramli Sarip tidak mahu terlalu berkira apabila diundang membuat persembahan pentas.

Katanya, sebagai penghibur dia selalu menjadikan setiap persembahan sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan karya baharu terutama kepada generasi muda.

"Biasanya saya akan tanya penganjur adakah cukup masa untuk saya menyanyi lebih, takut ada penyanyi lain menunggu.

"Kalau main dua lagu macam kasihan. Bagi saya, apabila sudah lama bergelar penyanyi, bukan soal wang ringgit jadi ukuran, tetapi kepuasan dirasakan bila penonton terima.

"Ia juga bagai satu terapi dan pencapaian bila mereka boleh menyanyi bersama.

"Saya anggap menyanyi sebagai hiburan dan pekerjaan, tetapi juga satu bentuk promosi untuk generasi muda tahu lagu saya," katanya.

Tambahnya, dia juga amat terharu apabila ramai generasi muda hari ini mengetahui dan mengagumi lagu popular nyanyiannya.

"Melihat generasi muda yang tahu lagu saya seperti Teratai dan Doa Buat kekasih walaupun usia lagu itu sudah 40 tahun cukup memberi kepuasan kepada diri saya.

PAPA Rock kekal dengan imej tersendiri. FOTO Rohanis Shukri
PAPA Rock kekal dengan imej tersendiri. FOTO Rohanis Shukri

"Ini juga menandakan lagu itu mempunyai 'roh' yang sangat kuat yang mana jalan cerita lagu itu cukup kuat dan menyentuh hati pendengar.

"Selain itu, penyampaian lagu itu juga memainkan peranan penting. Saya anggap apa yang saya miliki ini adalah anugerah pemberian Tuhan." katanya.

Dalam pada itu, Ramli menegaskan dia tidak perlu terikut-ikut dengan cara promosi generasi muda hari ini yang menggunakan platform media sosial sebagai medium untuk mempromosikan karya baharu.

Katanya, walaupun cara sedemikian adalah strategi yang berkesan, namun itu bukan perkara yang menjadi keutamaan kepada dirinya.

"Permainan dunia seni sekarang sudah berbeza, dulu syarikat rakaman menggunakan stesen radio dan televisyen untuk tujuan promosi, tetapi sekarang ramai memilih medium seperti TikTok.

"Bagaimanapun, saya tidak ke arah itu walaupun memang perlu dan bagus, tetapi ia bukan cara saya. Saya sudah dewasa dan tak perlukan sangat 'benda' begitu.

"Bagi saya, tak perlu terikut-ikut sangat cara generasi muda sekarang.

"Apa yang penting, kalau orang suruh saya menyanyi atas pentas selama 45 minit, saya tiada masalah. Nak suruh saya menyanyi secara akustik pun boleh sebab saya ada banyak lagu boleh dinyanyikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 6:08 AM