SAZZY Falak, suami syukur keharmonian rumah tangga mereka kekal utuh selama 18 tahun. - FOTO Faiz Anuar
SAZZY Falak, suami syukur keharmonian rumah tangga mereka kekal utuh selama 18 tahun. - FOTO Faiz Anuar
Ramlah Zainal


Bukan mudah untuk mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga yang dibina sekali gus terus bertahan selama 18 tahun.

Bagi pelakon dan pengacara terkenal, Sazzy Falak atau nama sebenarnya, Sazlini Shamsul Falak, 43, selain keserasian, dia dan suami, Nazril Idrus juga mempunyai minat yang sama.

"Walaupun bidang berbeza kerana saya dalam bidang hiburan tetapi suami pula menceburi bidang kewangan tapi kami berkongsi minat yang sama. Pada masa sama, suami juga pernah terbabit dalam bidang hiburan sebelum ini.

"Contohnya, kami sama-sama meminati aktiviti bersukan. Kalau bercuti pula, kami akan pergi 'surfing' bersama dengan anak-anak. Anak-anak juga sangat aktif dalam aktiviti sukan seperti ragbi, hoki dan bola tampar di sekolah.

"Kami juga pernah bergaduh dan itu perkara biasa dalam rumah tangga. Kalau tak bergaduh maksudnya tak sayang," katanya ketika ditemui pada majlis Celepets Care Raya 2024 di Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia ada memeriksa telefon bimbit suaminya pula, kata Sazzy, tiada larangan untuk mereka mengakses telefon bimbit masing-masing.

"Kami juga saling mempercayai antara satu Sama lain. Malah, kata laluan (password) telefonnya juga sama dengan saya.

"Suami juga selalu minta saya untuk semak sesuatu di telefon bimbitnya. Tiada apa-apa yang hendak kami sorokkan antara satu sama lain," katanya.

Sazzy mendirikan rumah tangga bersama Nazril pada 2006 dan dikurniakan dua anak perempuan kembar iaitu Iman Lily dan Tiara Rose yang kini berusia 13 tahun.

Pasangan itu kemudian mengambil seorang anak angkat iaitu Idris pada 2020.

SAZZY sampaikan sumbangan  kepada ibu tunggal dan anak yatim. - FOTO Faiz Anuar
SAZZY sampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan anak yatim. - FOTO Faiz Anuar

Berkongsi program Celepets pula, kata Sazzy, kumpulan itu sudah menjayakan banyak aktiviti amal sepanjang tempoh 15 tahun.

Selain Sazzy, kumpulan itu menampilkan enam lagi barisan selebriti popular tempatan seperti Dynas Mokhtar, Aishah Sinclair, Atilia Haron, Daphne Iking, Serena C dan Yasmin Hani.

Katanya, kumpulan itu juga impi untuk menubuhkan satu badan pertubuhan secara sah bagi mewujudkan lebih banyak peluang dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik di luar sana.

"Salah seorang penaja program juga mencadangkan supaya kami menjadi badan pertubuhan yang sah supaya dapat lebih banyak peluang bekerjasama dengan syarikat korporat lain.

"Pihak kami juga mahu bergiat lebih aktif untuk menganjurkan program secara lebih meluas selepas ini," katanya.

Mengulas program lagi, kata Sazzy, pihaknya juga mahu anjurkan aktiviti yang bukan sahaja untuk memberi bantuan kepada golongan memerlukan tetapi juga mahu mengajar mereka dari segi 'Soft skill (kemahiran keushawanan).

"Sebelum ini, Celepets menerusi Celepets Care bergiat aktif dalam melakukan kerja-kerja amal seperti program 'Power to Empower' yang membantu meningkatkan nama jenama usahawan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, pada acara Celepets Care Raya 2024, anggota Celepets turut menyumbang sebanyak RM2,000 setiap seorang sebagai sumbangan peribadi mereka untuk membantu keluarga yang kurang bernasib baik.

Mereka juga mengagihkan duit raya kepada ibu tunggal dan anak yatim pada acara berkenaan.

SAZZY bersama anggota Celepets. - FOTO Faiz Anuar
SAZZY bersama anggota Celepets. - FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 6:49 AM