Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bebas, tidak terikat dalam menjalankan siasatan sebarang kes rasuah dan salah laku.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkata, terdapat lima badan pemantau bertanggungjawab menasihati perjalanan agensi penguatkuasaan itu.

"Untuk menyatakan SPRM tidak bebas dan terikat ia adalah tidak benar kerana kita boleh menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja, tertakluk dalam bidang kuasa kami.

"Malah kita mempunyai lima badan pemantau yang sentiasa menasihati perjalanan aktiviti SPRM. Malah ia juga lebih banyak berbanding di peringkat global, kerana kita ada Agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa Hong Kong (ICAC) sahaja," katanya ketika ditemui selepas Anugerah Media SPRM, di sini hari ini.

Lima mekanisme yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap perjalanan SPRM adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Sementara itu, mengulas berhubung Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dipohon pihak berkuasa Perancis, Azam berkata pihaknya masih berbincang dengan Pejabat Peguam Negara.

Ia bagi siasatan projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan Transit Aliran Massa (MRT).

"Setakat ini kerajaan Malaysia belum luluskan permohonan pihak berkenaan disebabkan terdapat isu undang-undang yang perlu diteliti.

"Selepas selesai perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara, SPRM perlu menunggu respons dari Perancis mengenai maklumat yang akan ditawarkan kepada mereka.

"Mereka hanya memohon berhubung pegawai awam dan entiti negara kita yang terbabit dalam suapan sebuah syarikat.

"Bagaimanapun kita belum lagi memberi respons kerana ia membabitkan isu penguatkuasaan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 4:09 PM