Azam Baki
Azam Baki
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Tiada elemen konflik kepentingan berhubung pembelian saham syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti didakwa sesetengah pihak.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan diberikan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 24 November lalu ketika mesyuarat khas berhubung perkara berkenaan.

"Dalam pertemuan itu, Tan Sri Azam sudah menjelaskan kedudukan sebenar kepada saya dan ahli LPPR lain bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham berkaitan di pasaran terbuka pada 2015.

"Selepas perbincangan dilakukan ahli LPPR berpendapat Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan 'pecuniary' atau 'benefisial' (kepentingan) ke atas saham-saham berkenaan.

"Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest'( konflik berkepentingan) dalam perkara berkenaan," katanya pada sidang media khas di pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Abu Zahar berkata, LPPR juga ingin memaklumkan perkara berkenaan dalam masa tertentu, namun isu ini kemudian dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Dr Edmund Terence.

"Saya sentiasa terbuka untuk membincangkan (isu itu) dengan Terence kerana kita tidak akan bertolak ansur atau melindung sesiapa tanpa mengira jawatan.

"Saya berpandangan sebarang aduan mesti disertakan dengan bukti kukuh," katanya.

Sebelum ini, dakwaan konflik kepentingan tercetus membabitkan Azam yang dikatakan memiliki saham syarikat awam.

Ia menyebabkan Gomez meletak jawatan daripada panel berkenaan kerana dilihat gagal membincangkan perkara berkenaan.

Dalam surat peletakan jawatannya, Gomez yang juga pakar ekonomi dan akademik dilaporkan berkata, perkara itu menimbulkan persoalan berkait hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa dan situasi konflik kepentingan membabitkan Ketua Pengarah SPRM itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:06 PM