AZAM Baki ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AZAM Baki ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menafikan pembabitannya di beberapa syarikat seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menjelaskan perkara itu, Azam berkata, tuduhan terdapat 'konflik kepentingan' terhadapnya adalah tidak berasas.

"Saya menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat 'conflict of interest' di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas.

"Terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM yang mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas SPRM dengan menjadikan institusi Ketua Pesuruhjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi," katanya pada sidang media khas di pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Azam berkata, beliau menganggap bahawa ia adalah satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Saya buat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasi saya.

"Kita sudah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka," katanya.

Menjawab berhubung isu saham, Azam berkata, beliau sudah menjelaskan perkara berkenaan kepada panel LPPR bahawa akaun saham miliknya digunakan oleh adiknya untuk membuat urus niaga.

"Saya tiada kepentingan atau 'benefisial' ke atas saham-saham yang dibeli itu. Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

"Akhirnya semua saham-saham itu dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:15 PM