KETUA Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi LPPR SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang bergambar bersama ahli PPPR SPRM yang baharu dilantik iaitu Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin (kiri), Tan Sri Borhan Dolah (dua dari kanan) dan Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail. FOTO ihsan SPRM.
KETUA Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi LPPR SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang bergambar bersama ahli PPPR SPRM yang baharu dilantik iaitu Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin (kiri), Tan Sri Borhan Dolah (dua dari kanan) dan Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail. FOTO ihsan SPRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tujuh individu dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.

Dua daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang juga lantikan semula, manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu dan seorang lagi sudah dilantik pada 1 April lalu.

SPRM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan semua individu terbabit terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu suruhanjaya itu mencapai matlamat mewujudkan masyarakat membenci rasuah di pelbagai sektor.

"Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu sehingga 30 Jun 2024.

"Ahli-ahli PPPR terdiri daripada Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah selaku Pengerusi yang dilantik semula.

"Naib Pengerusi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pula dilantik sebagai ahli pada 1 April lalu," katanya.

Menurutnya, mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail dilantik sebagai ahli.

Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin pula adalah lantikan semula.

"Selain itu, tiga lagi individu dilantik sebagai ahli adalah Gabenor Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) Datin Yasmin Ahmad Merican, Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod dan Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan.

"Antara peranan ahli PPPR adalah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah," katanya.

Katanya, PPPR turut berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran mengenai jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.

"Dalam pada itu, PPPR juga berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.

"Malah, PPPR juga menasihati SPRM mengenai amalan-amalan baik dalam bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah," katanya.

Menurutnya, PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai 'key communicator' dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha pencegahan yang dilaksanakan suruhanjaya itu.

"Selain itu, PPPR berperanan mengemukakan ulasannya mengenai perjalanan oleh SPRM mengenai fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

"Surat cara pelantikan PPPR itu disampaikan oleh Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:56 PM