Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik melakukan operasi menyelamat mangsa yang kemalangan termasuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik melakukan operasi menyelamat mangsa yang kemalangan termasuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pemandu Proton Wira Aeroback yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12.8, Lebuhraya Lembah Klang (NKVE) pagi tadi, didapati memandu secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila Proton Wira Aeroback dipandu secara melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Klang oleh pemandu berumur 28 tahun.

"Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya bertembung dengan Proton Wira Sedan yang dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang penumpang lelaki dan dua penumpang wanita.

"Kedua-dua pemandu kereta serta dua penumpang Proton Wira Sedan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang penumpang Proton Wira Sedan parah.

"Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya pada kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati, kesemua mangsa yang menaiki Proton Wira Sedan adalah rakan dan dipercayai hendak ke Pulau Pinang.

"Menurut waris pemandu Proton Wira sedan, mangsa hendak ke Pulau Pinang tetapi waris tidak pasti mengapa mangsa berada di kawasan Shah Alam.

"Siasatan juga mendapati, pemandu serta dua penumpang itu beralamat di Negeri Sembilan manakala seorang lagi beralamat di Kuala Lumpur," katanya.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

Berita berkaitan:

  • 4 maut, seorang parah, dua kereta bertembung
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 1:33 PM