ANGGOTA bomba berusaha membantu mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit di Jalan Baling - Weng, berdekatan Kampung Tandop Bongor. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba berusaha membantu mengeluarkan mangsa kemalangan yang tersepit di Jalan Baling - Weng, berdekatan Kampung Tandop Bongor. FOTO Ihsan Pembaca
Safuri Kamarudin


MEKANIK maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah lagi kenderaan di Jalan Baling- Weng berdekatan Kampung Tandop, Bongor di Baling, awal pagi tadi

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa bertembung dengan Proton Iswara Aeroback menyebabkan mangsa tersepit dan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Muhammad Anas Fadzillah, 29, berasal dari Felcra Weng mati di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara yang juga pasangan suami isteri parah.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Baling dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum bertembung Proton Iswara Aeroback dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat manakala pasangan suami isteri yang parah di rawat di Hospital Baling (HB).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa, Mohd Jamil Mat Daud berkata, anggota bomba mengambil masa sepuluh minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:56 PM