GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Peniaga dalam talian berputih mata apabila tiga jam tangan mewah yang sepatutnya dilihat pelanggan, dilarikan empat lelaki bersenjata di restoran di Mount Austin di sini, 1.45 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian mangsa, 26, membuat janji temu untuk berjumpa pelanggannya di restoran tersebut.

Katanya mangsa turut ditemani dua rakannya berumur 25 dan 29 tahun.

"Semasa menunggu pelanggan terbabit yang mahu datang dan melihat sendiri jam tangan jenis Rolex yang mahu dibelinya, tiba-tiba datang empat lelaki menyamun mangsa.

"Empat lelaki terbabit mengambil tiga jam tangan jenama Rolex dan sebentuk cincin emas sebelum melarikan diri.

"Mangsa turut mengalami luka di tangan dan kerugian dianggarkan bernilai RM400,000," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Susulan itu, Raub berkata pihaknya sedang giat mengesan semua suspek dengan meneliti beberapa kamera litar tertutup (CCTV).

Kes disiasat mengikut Seksyen 397 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 5:29 PM