GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis berjaya menahan enam lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian merusuh dan mencederakan pemuda 19 tahun dalam empat serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek yang ditahan termasuk seorang warga asing berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Menurutnya, semua suspek itu ditahan antara jam 9.10 malam hingga 9.40 malam di tiga kawasan Masai dan satu kawasan Larkin.

"Dalam serbuan ini, kita membuat rampasan lima telefon bimbit, beg galas, pistol bersama dua kelopak, 20 butir peluru, salinan kad senjata dan salinan borang kebenaran menggunakan senjata," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Raub, pihaknya masih lagi menjalankan usaha mengesan beberapa suspek lagi yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama," katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Raub berkata, pergaduhan sekumpulan lelaki itu berlaku di tepi jalan dekat Jalan Dato' Abdullah Tahir di sini, kira-kira jam 5 pagi.

Katanya, mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang mendakwa dipukul sembilan lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an.

"Mangsa dipukul menggunakan kaki, tangan dan objek seperti kerusi, meja dan peralatan masak.

"Mangsa cedera dengan luka di bahagian kepala, hidung, kening kanan, belakang kepala, tangan dan lutut," katanya.

Terdahulu, Raub berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan kerana seorang suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang berjumpa seorang wanita warga asing berusia 20-an yang baharu dikenali mangsa melalui laman sosial tiga hari lalu.

Suspek terbabit mendakwa wanita itu adalah teman wanitanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:10 PM