MUHAMMED Hasbullah (kanan) memeriksa kaki judi yang ditahan.
MUHAMMED Hasbullah (kanan) memeriksa kaki judi yang ditahan.

Johor Bahru: Sebanyak 21 pusat judi atas talian dan simulator digempur Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman secara serentak dalam Op Dadu Tambak di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Operasi STAGG Bukit Aman Asisten Komisioner Muhammed Hasbullah Ali berkata, operasi empat jam bermula 10 malam itu membabitkan 130 pegawai dan anggota yang turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, Johor Bahru Utara dan Seri Alam.

Muhammed Hasbullah berkata, operasi dilakukan hasil maklumat dan risikan awam bagi membanteras kegiatan perjudian di negeri ini.

“Tindakan menyerbu premis dikenal pasti dilakukan dengan menggunakan kekuatan anggota dan pegawai STAGG, IPD Nusajaya, Johor Bahru Utara dan Seri Alam.

“Mereka yang ditahan dalam operasi itu membabitkan individu berusia 20 hingga 40 tahun termasuk 103 pelanggan, penjaga premis seramai 37 orang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pusat judi simulator dan atas talian itu menggunakan modus operandi sama iaitu menjalankan aktiviti perjudian di tingkat bawah dan tingkat atas dengan dipasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagi memastikan operasi berjalan lancar, hanya pelanggan yang dikenali saja dibenarkan masuk untuk bermain judi dan mereka hanya perlu menekan butang loceng khas sebelum dapat memasuki premis terbabit,” katanya.

Menurutnya, pelbagai peralatan perjudian, wang tunai dan mesin simulator yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta dirampas dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:04 AM