ANGGOTA APM meninjau rumah penduduk di Kampung Sungai Putat. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM meninjau rumah penduduk di Kampung Sungai Putat. FOTO ihsan APM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Hujan lebat selama sejam sejak 7 pagi, hari ini menyaksikan sekurang-kurangnya 18 kawasan termasuk lima kampung di daerah Melaka Tengah dinaiki air.

Antara 18 kawasan terbabit adalah Sungai Putat, Banda Kaba, Banda Hilir, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tun Ali, Melaka Baru, Jalan Kubu, Batu Berendam, Melaka Sentral, MITC Ayer Keroh, Batu Hampar, Kampung Hulu, Taman Cempaka, Bukit Beruang Bestari dan Kampung Telok.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Melaka Tengah Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet, dalam satu kenyataan berkata, setakat 10 pagi tadi tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan kawasan yang dilaporkan terjejas banjir kilat.

"Antara sembilan kawasan terjejas banjir kilat termasuk Kampung Telok di Bukit Katil, Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sungai Putat dan Bukit Cina.

"Selain itu Kampung Pengkalan Rama Pantai, Kampung Mata Kuching, Taman Peringgit Ria, Batu Hampar dan di kawasan Ayer Keroh turut terjejas," katanya.

Menurut Awang Bohari juga tiada penutupan jalan akibat dinaiki airdan pemantauan terus dijalankan agensi berkaitan.

"Penduduk juga hanya keluar dan menunggu di bahu jalan kerana hujan sudah berhenti," katanya.

Dalam pada itu, Pengurusan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi Melaka River Cruise dihentikan sementara sehingga keadaan pulih berikutan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Melaka tinggi serta arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 11:37 AM