MELAKA: Sebanyak 27 orang daripada tujuh keluarga di Batu Berendam dipindahkan ke pusat penempatan selepas rumah mereka dilanda banjir tengah malam tadi.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Jafri Mohamed berkata, bagaimanapun air telah surut pagi ini dan mereka yang ditempatkan di Dewan Pangsapuri Rakyat Sungai Putat itu telah dibenarkan pulang pada jam 8 pagi.

Beliau berkata, lebih 20 buah rumah terlibat dalam kejadian yang dipercayai berpunca akibat hujan lebat luar biasa yang bermula jam 7 petang semalam, yang turut mengakibatkan air di Kolam Tadahan Sungai Putat melimpah ke kawasan berhampiran.

Namun bacaan paras air di stesen bacaan di Batu Hampar, Sungai Putat masih berada pada paras amaran, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 11:21 AM