VIDEO yang tular di laman sosial. FOTO tular
VIDEO yang tular di laman sosial. FOTO tular
Amir Mamat


Melaka: Lima kereta yang melalui jalan berhampiran persimpangan Taman Krubong Perdana, di sini, malam tadi, ditenggelami air susulan hujan lebat bermula petang semalam.

Beberapa gambar serta video dikongsi orang ramai di Facebook serta aplikasi WhatsApp mengenai kejadian itu.

Banjir kilat itu susulan hujan lebat sejak 6 petang semalam yang turut menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, setakat jam 12 tengah malam tadi, sebanyak tujuh kawasan di Melaka Tengah dilanda banjir kilat.

Katanya, kawasan berkenaan ialah Pengkalan Rama Pantai, Taman Merdeka, Taman Sri Krubong, Taman Krubong Jaya dan Kampung Tampoi.

"Kejadian berlaku berpunca daripada limpahan air sungai dan perparitan berhampiran selain keadaan hujan lebat secara berterusan.

"Bagaimanapun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kawasan terjejas," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pihaknya masih memantau rapi perkembangan banjir termasuk bersedia 'turun padang' meninjau kawasan terjejas.

Katanya, pihaknya mengakui berkemungkinan ada kawasan dinaiki air yang `terlepas pandang' untuk diselenggara sehingga menyebabkan banjir kilat naik secara mendadak menyebabkan beberapa penduduk terperangkap.

"Saya akan menyiasat beberapa perkara berkaitan video serta gambar tular mengenai kejadian kereta yang ditenggelami banjir di Krubong Perdana semalam (malam tadi). Saya nak semak dulu macam mana tiba-tiba boleh jadi macam tu.

"Mungkin selama tiga bulan tidak hujan, jalan itu (tempat kejadian) dibuka. Saya perlu kaji (mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak yang berkaitan)," katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 12:19 PM