Sungai Pengkalan, Alor Gajah yang melimpah ke jalan raya yang turut menjejaskan penduduk kampung berkenaan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Sungai Pengkalan, Alor Gajah yang melimpah ke jalan raya yang turut menjejaskan penduduk kampung berkenaan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, jumlah berkenaan naik kepada 288 mangsa berbanding 225 setakat laporan jam 12.03 tengah hari tadi.

Katanya, setakat ini sebanyak lima PPS dibuka di daerah Alor Gajah dengan yang terbaharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China membabitkan dua keluarga dan 10 mangsa.

Menurutnya, PPS lain dibuka termasuk 73 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal , SK Telok Berembang (85 mangsa), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan (68 mangsa) serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Jelatang (52 mangsa).

Beliau berkata, keseluruhan 63 keluarga dipindahkan membabitkan 288 mangsa, dengan PPS SK Telok Berembang yang tertinggi, iaitu 85 mangsa membabitkan 21 keluarga.

"Semua mangsa dipindahkan termasuk dari Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning , Pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, 1 & 2 , Kampung Pengkalan, Kampung Panchor dan Kampung Beringin ," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 14 kawasan di daerah Melaka Tengah dan satu kawasan di Jasin turut dinaiki air, namun masih belum ada PPS dibuka setakat ini.

Jelasnya, antara kawasan terjejas adalah di daerah Melaka Tengah termasuk Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Kampung Hulu, Melaka Baru, Kampung Sungai Putat, Taman Bukit Beruang, Melawis dan Empangan Klebang.

Kawasan lain termasuk Taman Merdeka, Kampung Morten, Batu Hampar Peringgit, Kampung Enam,, Kampung Chetty, Jalan Ong Kim wee dan Kampung Morten sementara di daerah Jasin membabitkan kawasan Lubuk Kasau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:54 PM