LOKASI mangsa lemas ketika menjala ikan. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI mangsa lemas ketika menjala ikan. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: Seorang lelaki lemas ketika menjala ikan bersama keluarganya di sungai di Batu 20, Batu Kurau di sini, tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah hari.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau bergegas ke lokasi untuk operasi mencari mangsa dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PDPA) dari BBP Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, katanya, mangsa Mohd Kamaruddin Chek May, 49, ditemukan lemas oleh orang awam pada 3.08 petang.

"Jarak mangsa ditemukan sekitar lima meter dari lokasi dilaporkan hilang," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 4.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 6:25 PM