PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak hilang. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak hilang. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian bot karam di kawasan perairan Pulau Nusa Tengah, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Nasirin Katibin, 7, ditemui sudah tidak bernyawa dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noorjali Maslah berkata, enam anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan bot jenis Kevlar bagi menjalankan operasi menyelamat (SAR) sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.41 petang.

Menurutnya, maklumat awal mendapati kejadian membabitkan sebuah bot dinaiki dua lelaki dewasa bersama dua kanak-kanak berusia tujuh tahun karam selepas dipukul ombak besar.

"Dua mangsa lelaki iaitu bapa kedua-dua kanak-kanak dikenali Katibin Husni, 28, dan Ampir Gopek, 25, berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Bagaimanapun, seorang kanak-kanak terbabit ditemukan lemas dan seorang lagi mangsa, Padli Ambit, 7, masih hilang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorjali berkata, susulan itu pasukan bomba bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Taman-Taman Sabah, dan PPM menjalankan operasi pencarian seluas 3.225 batu nautika dari lokasi bot dilaporkan karam.

Setakat ini, katanya, mangsa belum ditemukan dan operasi ditangguhkan pada jam 4.50 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 10:31 PM