GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tiga pusat kecantikan yang menawarkan rawatan pergigian tidak berdaftar diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, tindakan diambil susulan aduan awam melalui Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SiSPAA) berhubung rawatan pergigian oleh pengamal pergigian tidak berdaftar di pusat kecantikan sekitar negeri ini.

"JKNS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penguatkuasaan ke atas dua premis di Bandar Baru Bangi dan Bukit Jalil, pada 26 Julai lalu, dan satu lagi serbuan di premis di Subang Jaya, pada 27 Julai lalu.

"Selain menawarkan perkhidmatan kecantikan, ketiga-tiga premis ini disyaki menyediakan perkhidmatan rawatan venir pergigian (veneer) serta pendakap gigi (braces) yang dilakukan oleh pengamal pergigian tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

"Malah, siasatan mendapati ia dijalankan di premis tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sha'ari berkata, ketiga-tiga premis yang dikendalikan warga tempatan itu didapati menawarkan perkhidmatan melalui media sosial secara berleluasa seperti laman Instagram, Facebook dan TikTok.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas peralatan yang disyaki digunakan dalam menawarkan rawatan pergigian dan rawatan estetik.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] iaitu menyediakan klinik pergigian atau klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Akta ini dan di bawah Akta Pergigian 2018 [Akta 804] di mana amalan pergigian dilakukan oleh orang tidak berdaftar," katanya.

Justeru itu katanya, KKM menyeru orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan dan tawaran harga murah yang ditawarkan oleh pusat kecantikan.

"Walaupun harga ditawarkan murah, tetapi orang ramai akan terbeban dengan kos rawatan susulan yang tinggi akibat komplikasi rawatan berkenaan.

"Di samping itu, orang awam juga berisiko mendapat jangkitan penyakit berjangkit seperti HIV dan Hepatitis akibat penggunaan peralatan yang tidak dibasmi kuman secara sempurna.

"Orang awam boleh menyemak kesahihan pengamal pergigian berdaftar sebelum mendapatkan rawatan pergigian melalui laman sesawang www.dpims.moh.gov manakala semakan terhadap klinik pergigian atau klinik perubatan yang berdaftar dengan KKM boleh dibuat di laman sesawang www.medicalprac.moh.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:27 PM