Dr Sha’ari Ngadiman
Dr Sha’ari Ngadiman
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas produk ubat disyaki mengandungi racun berjadual liraglutide untuk rawatan pelangsingan badan dipercayai tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah JKNS Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, rampasan itu dijalankan susulan maklumat awam yang diterima oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNS berhubung penjualan produk yang disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM (PBKD KKM).

"Tindakan penguatkuasaan dijalankan terhadap beberapa premis di Selangor sepanjang Ogos ini dan merampas sejumlah tujuh kotak produk ubat terbabit yang gagal mempamerkan nombor pendaftaran dengan PBKD KKM yang dianggarkan bernilai RM8,000.

"Modus operandi sindiket adalah memasarkan produk ini melalui media baru seperti Tik Tok yang mempromosi rawatan pelangsingan badan dengan cepat, berkesan dan tiada sebarang kesan sampingan yang dikhuatiri akan mengakibatkan kesan sampingan buruk dan membahayakan kesihatan orang ramai.

"Kes terbabit akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM50,000 di bawah Akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Sha'ari berkata, ubat liraglutide hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar dan dibekalkan oleh ahli farmasi berlesen melalui preskripsi yang sah di bawah Akta Racun 1952 dan ianya perlu berdaftar di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sehubungan itu, katanya, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang keluaran kesihatan dan kosmetik yang dijual dan memastikannya ia berdaftar dengan PBKD KKM.

"Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

"Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.

"Maklumat juga boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:00 AM