OPERASI serbuan premis yang menjalankan perniagaan menjual ubat-ubatan tradisional oleh pegawai CPF JKNS. FOTO Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
OPERASI serbuan premis yang menjalankan perniagaan menjual ubat-ubatan tradisional oleh pegawai CPF JKNS. FOTO Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas beberapa jenis jamu tradisional yang dianggarkan bernilai RM30,000 menerusi serbuan di Hulu Langat, bulan lalu.

Pengarahnya Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, kesemua jenis jamu berkenaan dirampas kerana disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM).

Katanya, serbuan ke atas beberapa premis yang menjalankan perniagaan menjual ubat-ubatan tradisional seperti jamu itu dilaksanakan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS hasil maklumat awam.

"Dalam operasi serbuan itu, beberapa jenis keluaran jamu tradisional mengandungi tuntutan perubatan sebagai perangsang seks lelaki dan pelangsingan badan wanita yang tidak memaparkan nombor pendaftaran PBKD sah dirampas yang mana dianggarkan ia bernilai RM30,000.

"Kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut akta yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang keluaran kesihatan yang dijual dan memastikannya ia berdaftar dengan PBKD KKM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:23 PM