KEJADIAN banjir kilat di Jalan Sultan Azlan Shah menuju Jalan Ipoh susulan hujan lebat. FOTO Hazreen Mohamad.
KEJADIAN banjir kilat di Jalan Sultan Azlan Shah menuju Jalan Ipoh susulan hujan lebat. FOTO Hazreen Mohamad.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Hujan lebat lebih dua jam di ibu negara menyebabkan sistem perparitan termasuk saliran jalan raya tidak dapat menampung kapasiti aliran air tinggi dan aliran balik disebabkan aras sungai yang tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Md Nasir Md Noh, berkata taburan hujan dengan bacaan 120 milimeter itu menyebabkan berlakunya banjir kilat di jalan utama Pusat Bandar Kuala Lumpur.

"Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak dan Sungai Batu di Sentul dilaporkan melepasi aras bahaya iaitu masing-masing 32.45 meter dan 34.03 meter.

"Banjir kilat menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerosakan beberapa kenderaan yang terperangkap di jalan-jalan utama.

"Dianggarkan lebih 50 rumah di Jalan Kassipilay, Jalan Batu Bata, Segambut Bahagia dan Segambut Dalam dimasuki air dengan kedalaman sehingga 0.3 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat bermula jam 2.45 petang semalam menyebabkan beberapa jalan utama di ibu kota terjejas antaranya Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Segambut, Pintasan Segambut, Jalan Kinabalu (Bulatan Merdeka), Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn, Jalan Maarof Bangsar dan Jalan Merdeka.

Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah JPS Wilayah Persekutuan beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Lencongan SMART Mode 2 diaktifkan pada 3.40 petang manakala Lencongan Keroh dan Lencongan Gombak masing-masing diaktifkan pada 3.50 petang dan 4.12 petang.

"Penduduk kawasan rendah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.

"Orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

"Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, penduduk perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 2:40 PM